
SIBU: Seorang lelaki penghantar makanan mengalami kecederaan parah selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta, semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili dalam satu kenyataannya berkata, kemalangan berlaku di Jalan Tunku Abdul Rahman lebih kurang jam 3 petang.
“Kejadian berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berumur 58 tahun sedang bergerak lurus di Jalan Tunku Abdul Rahman.
“Pemandu terbabit kemudian membuat pusingan U lalu berlanggar dengan sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang lelakı tempatan berumur 33 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Ketika kejadian, ujarnya mangsa sedang bergerak lurus dari arah bertentangan jalan.
Akibat pelanggaran itu, jelasnya penunggang motosikal terbabit telah mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kepala.
Zulkipli memberitahu, mangsa kini masih menerima rawatan di Hospital Sibu.
“Pihak polis masih menjalankan siasatan kes dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” tegas beliau.




