MATU : Seekor buaya seberat hampir satu tan yang menggemparkan penduduk daerah ini berjaya ditangkap berhampiran Lubuk Basong Sungai Matu, di sini, petang Sabtu.
Reptilia berukuran lebih empat meter itu dipercayai memakan umpan pada perangkap yang dipasang oleh sekumpulan pemancing sebelum bangkainya dihanyutkan ke jeti Kampung Bertong.
Pemimpin komuniti Cina Matu, Kapitan Tan Yu Hock berkata, tangkapan buaya pertama itu merupakan yang terbesar di sungai Matu setakat ini.
“Saya difahamkan, haiwan ini berjaya ditangkap pada jam 2.00 petang. Bangkainya pula sudah dibawa ke Sibu,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.
Tangkapan ke atas reptilia itu sempat dimuat turun oleh warga net sebelum tular di media sosial sejak semalam.
Sungai Matu menjadi habitat buaya kerana bebas pencemaran dan jarang dilalui penduduk selepas jalan raya di kawasan itu siap dibina sejak 30 tahun lalu.
Malah penduduk juga mendakwa sering terserempak dengan kelibat haiwan itu terutama ketika cuaca panas dan air surut.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya ketika dihubungi menasihatkan penduduk supaya berhati-hati dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika mengesan haiwan berkenaan.
“Sebaik –baiknya jangan mengambil tindakan sendiri kerana terlalu berisiko dan berbahaya,” ujarnya.





