KUCHING: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini memperkenankan penamatan pengisytiharan darurat bagi seluruh Bahagian Serian susulan keadaan jerebu.
Menurut kenyataan media Pejabat Perdana Menteri hari ini, perkenan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ia berikutan laporan agensi berkaitan menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian tidak lagi berada pada paras bahaya.
“Bagaimanapun, keadaan jerebu di Sarawak masih belum pulih sepenuhnya apabila bacaan IPU di beberapa kawasan, khususnya Serian dan Samarahan, masih berada pada tahap amat tidak sihat.
“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak akan terus memantau keadaan berkenaan,” katanya.
Oleh hal demikian, penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan mengehadkan aktiviti di luar rumah serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.




