BARU-BARU ini tular di media sosial, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan yang di tinggal di stor berkeluasan 2.74 meter lebar dan 4.87 meter panjang sepanjang tiga tahun berkhidmat.
George Odol yang bakal bersara wajib pada 27 November ini, tinggal di stor kerana sekolah itu dibina tanpa kemudahan rumah guru, selain jauh di pedalaman.
Telupid merupakan daerah di kawasan pedalaman Sabah dan sekolah itu itu terletak sekitar 230 kilometer dari Kota Kinabalu. Untuk ke sekolah ini, guru perlu melakukan perjalanan antara lain menelusuri kaki Gunung Kinabalu selain melalui jalan raya yang kurang baik dan bertanah merah.
Berkongsikan pengalamannya melalui aplikasi Tiktok, guru besar itu menjelaskan bahawa SK Ulu Ansuan mula dibina pada tahun 1999 dan siap sekitar tahun 2000 tanpa rumah guru. Guru-guru yang mula-mula ditugaskan ke sekolah itu terpaksa tinggal di rumah orang kampung dan kelas yang diubah suai.
Selepas enam tahun, atas ihsan Persatuan Ibu Bapa dan Guru, dua rumah untuk guru tinggal kemudian dibina secara ala kadar.
Bagaimanapun, pada penghujung perkhidmatan George, pembinaan rumah panjang tujuh pintu untuk guru dibina, namun guru besar ini memilih terus tinggal di stor kerana mahu mengutamakan guru luar Telupid.
Begitulah antara kisah guru yang ditugaskan di kawasan pedalaman, yang menjadi perintis anak bangsa apabila terpisah dari dunia luar, dek ketiadaan jalur lebar serta kemudahan asas.
Tidak semua guru bernasib baik dapat berkhidmat di kawasan bandar kerana ramai pendidik perlu ditugaskan jauh di perkampungan yang daif.
Mereka terpaksa berdepan dengan cabaran getir kerana ditempatkan di kawasan pedalaman yang mungkin belum dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur.
Selain terasing daripada alam maya tanpa Internet, sekolah tempat mereka bertugas ada yang terlalu daif selain tiada kemudahan jalan raya, bekalan air dan elektrik.
Pengorbanan guru di pedalaman amat dihargai kerana mereka bukan sahaja menjadi penyampai ilmu tetapi perlu menjadi ikon kepada masyarakat dan pelajar yang tabah menempuh rintangan serta cabaran ketika mengajar di kawasan pedalaman.
Walaupun banyak kekangan dan cabaran ketika bertugas dengan merentasi hutan serta sungai terutama di daerah pedalaman, namun guru pedalaman ini tetap bersemangat mendidik anak bangsa.
Itulah pengorbanan guru di pedalaman dan kisah guru besar sekolah itu juga wajar dicontohi dan dihargai dalam memastikan kelangsungan pendidikan anakanak luar bandar.
Kisah tersebut juga mendapat kenyataan balas KPM pada Ahad, dengan mengatakan bahawa penambahbaikan akses dan fasiliti pendidikan di SK Ulu Ansuan sedang dilaksanakan.
Menurut KPM, projek itu membabitkan pembinaan blok akademik, pentadbiran dan kemudahan lain, termasuk pembelian perabot sedang rancak dibuat.
Kenyataan sama turut menjelaskan bahawa pembinaan empat kuarters baharu di sekolah berkenaan sudah diluluskan dalam Belanjawan 2024.
Menurut KPM, kementerian memandang serius perkara ini kerana ia membabitkan kesejahteraan guru, murid dan seluruh warga sekolah. Difahamkan projek penambahbaikan akses dan fasiliti pendidikan di SK Ulu Ansuan membabitkan kos keseluruhan RM12.5 juta.



