ARTIKEL

Pengorbanan tanpa sempadan seorang guru

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DI SEBALIK kehijauan hutan dan aliran sungai yang mengalir tenang, terdapat sebuah sekolah kecil yang menjadi tempat menyemai impian anak-anak pedalaman.

Sekolah Kebangsaan Sangan Iban, Tatau ini tidak memiliki kemudahan moden seperti yang terdapat di bandar, namun tetap menjadi pusat ilmu yang amat berharga.

Bagi guru-guru yang berkhidmat di sini, perjalanan mereka bukan sekadar satu tugas, tetapi satu perjuangan demi memastikan setiap anak di pedalaman mendapat hak pendidikan yang sama seperti murid di bandar.

Salah seorang guru yang menggalas amanah ini ialah Arni Afiza, 29, penolong kanan kokurikulum di sebuah sekolah di kawasan pedalaman Sarawak.

Beliau ialah seorang pendidik yang tidak pernah mengenal erti putus asa.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, beliau tetap teguh menjalankan tugas mendidik, memastikan anakanak didiknya tidak tercicir daripada arus pendidikan negara.

Mengajar di pedalaman bukan sekadar berdiri di hadapan murid dan menyampaikan ilmu, tetapi turut menuntut pengorbanan besar, termasuk dari segi kewangan.

“Setiap kali membawa murid keluar untuk menyertai pertandingan, guru-guru terpaksa menggunakan wang sendiri serta mencari pengangkutan sendiri.

“Tidak seperti di bandar, kami tiada peruntukan khas atau kemudahan disediakan untuk murid bertanding di peringkat luar,” jelasnya kepada Suara Sarawak. Namun, kekangan ini tidak mematahkan semangatnya.

Baginya, murid-murid pedalaman berhak mendapat peluang yang sama untuk mengasah bakat mereka, sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.

Selain itu, perjalanan ke sekolah setiap hari turut penuh dengan cabaran.

Dari Bintulu ke Pekan Tatau, perjalanan sejauh 68 kilometer memakan masa satu jam.

Dari sana, beliau perlu meneruskan perjalanan sejauh 20 kilometer ke Pekan Sangan selama 30 minit sebelum menaiki perahu selama 10 minit untuk tiba di sekolah.

“Penggunaan titi untuk ke jeti sangat berbahaya, terutama ketika musim hujan kerana arus sungai yang deras.

Jika musim kemarau, air sungai menjadi cetek, dan titi menjadi lebih jauh,” katanya.

Tambah Arni, bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir sering berlaku semasa musim hujan. Air sungai naik hingga ke kawasan sekolah dan perjalanan ke sekolah terputus akibat tanah runtuh.

Oleh itu, pergerakan menjadi terhad dan sukar untuk menjalankan tugas di sekolah jika perkara seperti ini berlaku. Walaupun kehidupan di bandar lebih selesa, Arni Afiza tidak pernah berasa terasing kerana komuniti di sini sangat mesra dan menghargai guru.

Namun, yang menyedihkan ialah keadaan murid-murid yang tidak mendapat kemudahan seperti rakan-rakan mereka di bandar.

“Sekolah kami tidak mempunyai akses teknologi seperti sekolah-sekolah di bandar.

Dalam subjek Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), murid-murid sepatutnya belajar penggunaan perisian Scratch (perisian pengaturcaraan visual) dan kemahiran pengkodan.

“Namun, mereka hanya dapat menggunakan Scratch tanpa dapat mengaplikasikan pengekodan kerana tiada peralatan yang sesuai,” jelas Arni.

Selain itu, perkara yang sama berlaku dalam bidang kokurikulum.

Beliau sedih dengan keadaan permukaan padang yang tidak rata kerana ia menyebabkan murid tidak dapat mencuba sukan lain disebabkan tiada kemudahan gelanggang yang sesuai.

Perkara ini telah mengehadkan peluang murid untuk bersaing pada peringkat yang lebih tinggi.

“Apabila mereka bergaul dengan murid dari sekolah lain, mereka akan tertanyatanya mengapa mereka tidak didedahkan dengan kemudahan yang sama sejak sekolah rendah.

Ini sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan mereka,” tambah Arni. Walaupun menghadapi kekurangan, semangat muridmurid untuk belajar tetap menjadi sumber inspirasi buat Arni Afiza.

“Saya masih ingat pengalaman pertama menghantar pasukan bola jaring sekolah ke pertandingan pada 2021.

Murid-murid tiada pengalaman, padang kami hanya rumput biasa, dan saya sendiri tidak pernah melatih bola jaring sebelum itu.”

“Namun, mereka berjaya mendapat tempat keempat daripada 28 sekolah. Kejayaan kecil ini memberi semangat kepada saya untuk terus mencari peluang buat mereka,” katanya.

Malah, hasil kegigihannya, beberapa bekas muridnya berjaya melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), yang menjadi inspirasi kepada murid lain untuk bercita-cita lebih tinggi.

“Kemasukan mereka ke MRSM membuka mata murid-murid lain bahawa mereka juga boleh berjaya.

“Mereka kini lebih bermotivasi dan sudah mula mengenali sekolah-sekolah khas yang dapat membantu mereka melakar masa depan yang lebih cerah,” ujar Arni dengan bangga.

Menurut Arni, murid pedalaman memerlukan masa yang lebih lama dan perhatian yang lebih untuk menguasai sesuatu bidang.

Jelas Arni, kekurangan infrastruktur dan peralatan menjejaskan peluang mereka untuk meneroka potensi diri.

“Saya berharap lebih banyak pihak akan membuka mata dan memberi perhatian kepada anakanak pedalaman kerana setiap murid berhak mendapat peluang pendidikan yang sama,” katanya.

Di sebalik segala cabaran, guru-guru pedalaman seperti Arni Afiza terus berjuang.

Mereka bukan sekadar pendidik, tetapi juga pembentuk harapan dan masa depan anak bangsa. Kecekalan dan dedikasi mereka wajar dihargai dan disokong agar tiada seorang pun murid terpinggir dalam mengejar ilmu.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU