KUCHING: Penguasaan bahasa Inggeris dan Mandarin mampu memberi kelebihan kepada masyarakat Bumiputera Sarawak dalam membina jaringan serta merebut peluang dalam ekonomi global.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penguasaan bahasa antarabangsa penting bagi melengkapkan generasi muda dengan pengetahuan, khususnya dalam bidang sains dan teknologi serta pembinaan jaringan global.

Bagaimanapun, tegasnya, penggunaan bahasa Inggeris tidak seharusnya dianggap menjejaskan semangat patriotisme atau kedudukan bahasa sendiri.
“Bahasa Inggeris penting dan tidak salah untuk kita menggunakan bahasa antarabangsa kerana kita mahu anak-anak mempunyai pemikiran serta semangat bertaraf global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pertemuan Semula dan Kutipan Dana Persatuan Bekas Pelajar Kolej Tanjong Lobang (TLC), di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Sarawak tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada pembangunan dalam negeri sahaja kerana ekonominya turut melibatkan perdagangan serta hubungan dengan negara luar.
“Justeru, penguasaan bahasa antarabangsa diperlukan bagi membolehkan rakyat Sarawak membina jaringan serta berkomunikasi dengan masyarakat global kerana kita juga merupakan sebuah ekonomi perdagangan.
“Sehingga kini, kita masih mempunyai sistem dwibahasa,” jelasnya.
Dalam pada itu, ujarnya, pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dibuat dengan mengambil kira perubahan ekonomi antarabangsa dan kedudukan China sebagai sebuah kuasa ekonomi utama dunia.
“Penguasaan bahasa Mandarin mampu memberi kelebihan kepada masyarakat Bumiputera untuk bekerjasama dan membina hubungan dengan masyarakat bukan Bumiputera dalam ekonomi global yang semakin terbuka.
“Bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem telah membuat keputusan bersama kami untuk mengiktiraf UEC kerana ekonomi antarabangsa sudah berubah dan China kini menjadi kuasa ekonomi yang besar.
“Jika tidak, kita akan rugi kerana kita tidak mempunyai pengetahuan tersebut,” katanya.
Beliau menambah, bagi masyarakat Bumiputera, penguasaan bahasa Mandarin merupakan satu kelebihan kerana bahasa juga menjadi medium membina jaringan.
“Keputusan mengiktiraf UEC boleh menggalakkan masyarakat Bumiputera menguasai pelbagai bahasa agar tidak ketinggalan dalam perkembangan ekonomi semasa,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan masyarakat Sarawak perlu saling belajar dan melengkapkan diri dengan pengetahuan terkini bagi menghadapi perubahan ekonomi global.






