ARTIKEL

Kredit: Bernama

Pengumuman tarif AS tidak jejas ringgit ditutup mengukuh berbanding dolar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Ringgit yang berdepan tekanan susulan tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) mengumumkan tarif timbal balas ke atas beberapa negara, termasuk Malaysia pada awal Khamis, sebaliknya ditutup secara relatifnya lebih stabil, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit diniagakan meningkat sedikit pada 4.4400/4460 berbanding dolar AS daripada  4.4510/4565, semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit diniagakan susut dalam sesi urus niaga pagi ini pada 4.4822 berbanding dolar AS namun kembali mendapat momentum peningkatan menjelang lewat tengah hari ini.

Beliau berkata kalangan peniaga, pelabur dan penganalisis sememangnya menjangkakan potensi penyusutan susulan pengumuman tarif oleh AS.

“Namun, sebagai tindakan susulan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyuarakan keterbukaan untuk melakukan libat urus dengan pihak berkuasa AS, sekali gus memaparkan pendirian Malaysia yang pragmatik. 

“Pendekatan tindak balas setimpal sebaliknya boleh mengundang tarif import yang secara asasnya membawa kepada beban cukai domestik.

Tindak balas Malaysia juga membantu dari segi mengekalkan hubungan diplomatik dengan kedua-dua pihak kelihatan berminat untuk mengelak konflik.

“Bagaimanapun, sentimen pasaran dijangka kekal goyah dalam jangka masa terdekat berikutan risiko tindak balas yang lebih ketara dan berpotensi menjejaskan permintaan global,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata dengan senario itu, ringgit berkemungkinan diniagakan dalam julat 4.44 hingga 4.45 dalam jangka masa terdekat.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata prospek ringgit mungkin mencabar jika dilihat dari sudut asasnya.

“Namun, pertukaran asing ini merupakan satu permainan relatif dan peniaga tempatan sudah beralih kepada AS.

Andaian kejutan tarif ini mencetuskan pengurangan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed) juga terus ketara, malah mungkin dilaksanakan lebih awal.

“Oleh itu, dalam tempoh ringgit berusaha meningkat semula, naratifnya telah berubah.

(Pada masa ini) ia bukannya mengenai kelemahan ringgit, sebaliknya kepada impak ke atas makro AS yang akhirnya dapat menyuntik sedikit sokongan terhadap ringgit.

Sebarang keutamaan Fed yang cenderung menurunkan kadar faedah juga dilihat sebagai tepat pada masanya,” katanya. 

Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ini termasuk susut berbanding yen kepada 3.0289/0332 daripada 2.9783/9821, rendah berbanding euro kepada 4.8969/9035 daripada 4.8098/8157 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.8470/8549 daripada 5.7632/7703, kelmarin.

Ringgit bagaimanapun meningkat berbanding mata wang ASEAN kecuali dolar Singapura yang menyaksikannya ke paras 3.3229/3276 daripada 3.3150/3193, kelmarin.

Ia mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9529/9769 daripada 13.0260/0490, naik berbanding rupiah Indonesia pada 265.1/265.6 daripada 266.3/266.7 dan meningkat berbanding peso Filipina pada 7.77/7.79 daripada 7.78/7.79. — Bernama

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

Industri minyak dan gas perluas operasi

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia di landasan tepat bagi fasa pertumbuhan selanjutnya dan perlu terus memperluas skala operasi, inovasi

BERITA TERBARU