Pengurus lelaki ditahan cabul tiga wanita semasa temu duga

IPOH: Polis menahan seorang pengurus syarikat kerana dikaitkan dengan tuduhan mencabul tiga wanita di sebuah pejabat di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Medan Gopeng Jalan Raja Dr Nazrin Shah di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Mazuki Mat berkata ketiga-tiga kejadian berlaku pada 7.45 pagi, 12.30 tengah hari dan 4.30 petang semalam ketika semua mangsa yang berumur 20 tahun hadir ke pejabat itu untuk temu duga sebagai kerani di syarikat tersebut.

“Semasa temu duga dijalankan oleh suspek yang berumur 65 tahun, beliau tidak bertanyakan tentang soalan berkaitan temu duga ataupun berkaitan kerja. Suspek banyak menghabiskan masa menceritakan hal peribadi beliau sahaja.

“Selain itu, suspek juga ada mengambil gambar pengadu semasa temu duga dijalankan, ” katanya dalam kenyataan semalam.

Marzuki berkata ketiga-tiga wanita berkenaan kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Rapat di sini pada 9 malam tadi.

Menurut Marzuki, semua mangsa dalam laporan masing-masing memberitahu suspek bukan sahaja memegang tangan dan bahu mereka, malah turut bertindak mencium pipi selain memeluk dari belakang semasa temu duga dijalankan.

Katanya suspek ditahan anggota Balai Kampung Rapat awal pagi ini dan rakaman percakapan telah diambil namun tiada pengakuan. Selain itu rakaman percakapan saksi yang juga anak suspek turut diambil.

“Saksi itu memberitahu, beliau berada di dalam biliknya semasa kejadian dan bukan di pejabat suspek,” katanya

Menurut Marzuki, suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

Suara Sarawak