KUCHING: Pengurusan risiko bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan ribut petir (FLIRT) memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh, kata Desmond Douglas Jerukan.
Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) itu berkata, pengurusan FLIRT itu juga memerlukan pendekatan terancang dan berpaksikan teknologi.
Beliau mengimbas kembali pengalaman ketika berkhidmat sebagai pegawai kawasan di Tubau, termasuk berdepan insiden banjir yang berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit, sebuah sekolah yang terletak di atas gunung.
“Ketika bertugas di Sri Aman, semasa kejadian pencairan besar pada 2010, kami perlu melaporkan status banjir setiap jam selama 24 jam kepada pihak berkuasa negeri dan Majlis Keselamatan Negara.
“Berdasarkan pengalaman saya menguruskan insiden FLIRT di beberapa bahagian di Sarawak memperlihatkan keperluan mendesak untuk sistem pengurusan bencana yang lebih efektif, responsif dan bersandarkan kepada data serta teknologi masa nyata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar ‘Improving Flood Control in Stormwater Systems for Sarawak: Current Status, Challenges and Capabilities’ di sini, hari ini.
Tambah beliau, Sarawak kini berada di fasa akhir Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan sedang dalam proses merangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang akan memfokuskan kepada kesejahteraan rakyat, pembangunan infrastruktur digital dan pengukuhan daya tahan komuniti terhadap bencana.
“Seminar ini hadir tepat pada masanya kerana input dan cadangan yang dikemukakan di sini berpotensi dimasukkan dalam pelan pembangunan RMK13.
“Saya berharap perbincangan hari ini bukan sahaja bersifat teknikal, tetapi turut menghasilkan penyelesaian praktikal yang boleh diterjemahkan kepada projek sebenar,” jelasnya.
Beliau turut menggesa semua pihak untuk melihat isu kawalan banjir secara lebih holistik, bukan hanya sebagai cabaran teknikal tetapi juga sebagai aspek penting dalam pembangunan sosioekonomi dan perlindungan alam sekitar.
Seminar sehari anjuran bersama MPHLG dengan rakan strategik itu memberi tumpuan kepada perbincangan berkenaan model hidrologi, inovasi teknologi dan kerjasama antara sektor awam serta swasta dalam meningkatkan keupayaan pengurusan banjir dan sistem saliran di Sarawak.





