ARTIKEL

Yusuf menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan bertuntong.

Pengurusan PBT Jamin Kesejahteraan Komuniti

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARIKEI: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran terus mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan merancang pembangunan bandar secara lebih sistematik bagi menghadapi cabaran semasa.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Datuk Yusuf Abd Wahab berkata, usaha menambah baik perkhidmatan perlu dilaksanakan secara berterusan walaupun tahap sedia ada sudah memuaskan.

Menurut beliau, penambahbaikan itu penting bagi memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara seiring dengan perkembangan semasa yang semakin mencabar.

“Aspek kebersihan dan kesihatan awam tidak boleh dipandang ringan kerana kegagalan mengurusnya dengan baik boleh mengundang penularan penyakit berbahaya seperti rabies dan demam denggi.

“Kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang serta ketidakpatuhan pelan perancangan bandar juga berpotensi menjejaskan pembangunan dan keseimbangan sesebuah kawasan,” katanya pada Majlis Kongsi Raya Majlis Daerah Sarikei di sini, malam tadi.

Pada masa yang sama ujar beliau, kemudahan asas seperti lampu jalan, papan tanda dan prasarana awam perlu diselenggara secara berkala bagi mengelakkan kesulitan kepada penduduk setempat.

Yusuf turut menegaskan pengurusan hasil termasuk kutipan cukai dan permit perlu dilaksanakan secara cekap kerana ia menjadi sumber utama bagi menjana pembangunan setempat.

“Semua inisiatif ini hendaklah dilaksanakan secara teratur dan efektif kerana peranan PBT, khususnya majlis daerah, amat penting dalam menjamin kesejahteraan komuniti,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan bahawa perkhidmatan seperti kutipan sampah yang dilakukan secara konsisten sering dianggap remeh, namun kelewatan akan menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk.
Beliau turut memuji pencapaian Majlis Daerah Sarikei yang pernah meraih pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan, sekali gus berharap kecemerlangan tersebut dapat diteruskan demi mengharumkan nama daerah dan negara.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Jalai Balingian–Sungai Anak patut diadu manah

KUCHING: Pengawa ngintu, ngadu sereta nangkir Jalai Perintah Besai Balingian–Sungai Anak ti nyambung rentayan Jalai Besai Pan Borneo begunaka perati dikena nambahka pengelikun enggau pejalai