BINTULU: Kerajaan Sarawak kekal komited mempercepatkan proses pengukuran tanah, memperkukuh sistem dokumentasi, meningkatkan ketelusan serta memastikan semua pertikaian berkaitan tanah diselesaikan secara adil dan berhemah.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata usaha itu selaras dengan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menangani isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di tengah-tengah pembangunan pesat serta perubahan global yang semakin mencabar.
Beliau berkata pengurusan tanah khususnya melibatkan NCR perlu dilihat secara menyeluruh kerana ia bukan sahaja melibatkan aspek perundangan, malah menyentuh soal identiti, warisan budaya dan kesejahteraan komuniti pribumi.
“Pengurusan tanah, khususnya tanah NCR, bukan sekadar isu perundangan. Ia melibatkan identiti, warisan budaya serta kesejahteraan komuniti pribumi,” katanya ketika merasmikan Persidangan Tanah dan Survei (LANDAS Summit) 2025 di Hotel Imperial di sini, Isnin.
Abang Johari berkata tadbir urus tanah di Sarawak perlu mengimbangi keperluan pembangunan dengan prinsip keadilan sosial bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan tidak meminggirkan rakyat atau mengorbankan warisan nenek moyang.
Menyentuh isu pembandaran, Abang Johari berkata pertumbuhan pesat khususnya di kawasan bandar dan pinggir bandar telah memberi tekanan yang semakin meningkat terhadap sistem pengurusan tanah susulan permintaan tinggi terhadap perumahan, kemudahan awam dan ruang komersial.
Menurut beliau, peningkatan harga tanah serta tekanan terhadap alam sekitar menjadikan perancangan guna tanah yang sistematik dan bersepadu semakin penting dalam memastikan kesejahteraan dan kelestarian jangka panjang.
“Kita tidak boleh membangunkan bandar tanpa mengambil kira kesejahteraan, keselamatan, keselesaan dan kelestarian alam sekitar rakyat. Bandar pintar hanya dapat direalisasikan melalui pengurusan tanah yang bijaksana dan berpandangan jauh,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa perubahan iklim merupakan realiti mendesak yang perlu diambil kira dalam perancangan guna tanah memandangkan bencana seperti banjir, tanah runtuh, hakisan pantai dan perubahan corak cuaca memberi kesan langsung terhadap penggunaan serta pengurusan tanah.
“Dalam konteks ini, dasar dan perancangan tanah perlu mengintegrasikan elemen daya tahan iklim serta pengurusan risiko bencana,” katanya sambil menambah strategi pengurusan tanah harus menyokong pemuliharaan hutan, perlindungan kawasan tadahan air, pertanian mampan serta penggunaan sumber semula jadi secara berhemah.
“Kelestarian alam sekitar bukan lagi satu pilihan, sebaliknya tanggungjawab moral kita kepada generasi akan datang,” ujarnya.



