ARTIKEL

Sekitar rakaman kenangan ketika Lee mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Trafik Bandar Sarawak (SUTMaC) Bil. 1/2026, di sini, hari ini.

Pengurusan trafik bandar perlu lebih bersepadu di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pengurusan trafik bandar yang teratur dan bersepadu penting dalam menghadapi tekanan trafik bandar yang semakin ketara seiring pembangunan pesat melibatkan kawasan berkenaan di Sarawak.

Menteri Pengangkutan (MOTS), Datuk Seri Lee Kim Shin berkata pertumbuhan populasi, perkembangan aktiviti komersial serta peningkatan pemilikan kenderaan persendirian menyebabkan beberapa kawasan bandar di seluruh negeri kini berdepan isu berkenaan khususnya di laluan utama dan persimpangan yang sibuk.

“Menurut statistik sehingga akhir 2025, Sarawak mempunyai lebih dua juta kenderaan berdaftar yang majoritinya terdiri daripada kereta persendirian dan motosikal. Peningkatan berterusan pemilikan kenderaan persendirian terus memberi tekanan besar kepada rangkaian jalan raya bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Trafik Bandar Sarawak (SUTMaC) Bil. 1/2026, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, tambahnya, pada waktu puncak, kesesakan semakin ketara di beberapa laluan utama dan persimpangan penting yang turut berpotensi meningkatkan risiko keselamatan jalan raya.

Menurutnya, projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan seperti Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), walaupun penting untuk penambahbaikan jangka panjang sistem pengangkutan bandar, mungkin ia juga memberi kesan sementara terhadap aliran trafik sepanjang tempoh pembinaan.

“Cabaran ini menekankan kepentingan pengurusan trafik bandar yang berkesan dan diselaraskan dengan baik.

“Justeru, isu seperti kapasiti jalan raya, langkah mengurangkan kesesakan, pengurusan parkir, sistem lampu isyarat pintar, kemalangan jalan raya serta langkah mitigasi memerlukan kerjasama rapat antara agensi dengan pihak berkepentingan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan SUTMaC berfungsi sebagai platform penting yang menghimpunkan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pengendali pengangkutan, badan penguat kuasa serta agensi teknikal untuk berkongsi maklumat sekali gus menyelaras perancangan dan menangani isu pengurusan trafik bandar secara bersama.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan), Datuk Dr. Jerip Susil; Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan, Datuk Wong Hee Sieng; Timbalan Setiausaha Tetap MOTS, Mohamad Lotfi Tuah; serta wakil yang lain.

Sementara, dalam mesyuarat sebelum ini, Lee memberitahu, beliau telah menggesa Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) dan MOTS untuk merangka piawaian serta garis panduan untuk pelaksanaan sistem lampu isyarat pintar di Sarawak.

“Justeru, saya dengan sukacitanya memaklumkan bahawa dengan input teknikal daripada SMA, Piawaian dan Garis Panduan Sistem Lampu Isyarat Pintar Sarawak telah dikeluarkan secara rasmi kepada kementerian dan agensi berkaitan pada Februari tahun ini,” ujarnya.

Dalam mesyuarat hari ini, wakil daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) IPK Sarawak turut membentangkan taklimat mengenai statistik kemalangan jalan raya di Sarawak bagi membolehkan agensi berkaitan menganalisis trend kemalangan dengan lebih baik serta memasukkan dapatan tersebut dalam strategi pengurusan trafik yang lebih berkesan.

Selain itu, pihak berkuasa tempatan utama dan majlis perbandaran juga membentangkan perkembangan isu kesesakan trafik di kawasan masing-masing, termasuk kemajuan langkah mitigasi serta projek yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Dalam hal berkaitan, Lee memaklumkan bahawa pengurusan trafik bandar yang berkesan amat penting bukan sahaja untuk meningkatkan pengalaman perjalanan harian masyarakat, malah bagi meningkatkan kecekapan operasi bandar serta menyokong pembangunan ekonomi.

“Usaha menangani cabaran trafik bandar memerlukan kerjasama berterusan antara agensi kerajaan dengan pihak berkepentingan, termasuk memperkukuh penguatkuasaan, melebarkan jalan raya, membangunkan laluan alternatif, memasang sistem lampu isyarat trafik, menambah baik serta menaik taraf sistem pengangkutan awam, pengurusan parkir dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan jalan raya,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU