KUCHING: Bukan sekadar berdepan peningkatan kos operasi, pengusaha bas sekolah di Sarawak kini berharap beberapa dasar utama yang mengawal industri itu dikaji semula supaya lebih adil dan praktikal kepada pemain industri.
Presiden Persatuan Gabungan Pengusaha dan Pemandu Bas Sekolah Malaysia, Dr Muruga Malai berkata, antara perkara yang memerlukan penelitian semula ialah had umur kenderaan, syarat permit serta kos pematuhan terhadap pemasangan peranti keselamatan yang semakin membebankan pengusaha.
“Had usia operasi bas sekolah di Sarawak wajar diselaraskan dengan dasar yang diguna pakai di Semenanjung bagi mewujudkan layanan yang lebih adil kepada pengusaha,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, ketika ini Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak menetapkan had operasi bas sekolah sehingga 30 tahun, manakala di Semenanjung kelonggaran diberikan sehingga 32 tahun.
Disebabkan itu, katanya, persatuan mencadangkan had tersebut dipanjangkan kepada 33 tahun dengan syarat setiap bas melepasi pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi memastikan tahap keselamatan sentiasa terjamin.
Dalam masa yang sama, beliau berharap kerajaan mengkaji semula syarat permit baharu yang ketika ini tidak membenarkan bas berusia 20 tahun ke atas didaftarkan di Sarawak.
“Pendekatan itu berbeza dengan Semenanjung yang masih membenarkan kenderaan berusia antara 20 hingga 29 tahun memohon permit, sekali gus memberi ruang kepada pengusaha memperoleh pulangan pelaburan sebelum membeli bas baharu yang menelan kos ratusan ribu ringgit,” jelasnya.
Selain itu, beliau berkata, pengusaha turut berdepan peningkatan kos susulan kewajipan memasang Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) dan peranti pengehad kelajuan pada setiap bas sekolah.
Menurutnya, kerajaan wajar mempertimbangkan pemberian bantuan atau subsidi bagi menampung kos pemasangan serta penyelenggaraan kedua-dua peranti tersebut supaya matlamat meningkatkan keselamatan murid dapat dicapai tanpa menambah tekanan kewangan kepada pengusaha.
Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu bentuk pengiktirafan khas kepada pemandu bas sekolah veteran yang telah menabur bakti selama berpuluh-puluh tahun sebagai penghargaan atas sumbangan mereka membawa generasi murid ke sekolah dengan selamat.
“Semua cadangan ini akan dikemukakan secara rasmi kepada pihak berkaitan, termasuk LPKP Sarawak dalam masa terdekat dengan harapan ia dapat dipertimbangkan demi menjamin kelangsungan perkhidmatan bas sekolah di negeri ini,” katanya.





