KUCHING: Hukuman lebih berat mungkin akan dikenakan ke atas peniaga besi buruk yang didapati membeli barangan yang dicuri.
Ini merupakan sebahagian daripada usaha bagi membanteras kes kecurian atau vandalisme, khususnya melibatkan kemudahan utiliti.
Justeru, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata beliau akan berbincang dengan Peguam Besar Negeri Sarawak, Datuk Saferi Ali, berhubung perkara itu.
“Saya akan bincang dengan Peguam Besar Negeri berkenaan undang-undang ke atas peniaga barangan lusuh. Hukuman RM5,000 sangat sikit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada
Majlis Pelancaran Kempen Anti-Vandalisme Terhadap Kemudahan Utiliti dan Telekomunikasi 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini yang dihadiri lebih 3,000 orang, termasuk pelajar-pelajar sekolah.
Ketika ini, di bawah Seksyen 6 Akta Peniaga Barangan Lusuh 1946, bagi kesalahan pertama, denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali.
Manakala bagi kesalahan kedua, denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun, Abang Johari berkata pindaan ke atas undang-undang itu belum dapat diputuskan lagi kerana ia berada di bawah Kerajaan Persekutuan.
Namun, beliau berkata beliau akan merujuk kepada Peguam Besar Negeri Sarawak bagi melihat sama ada ia boleh menggunakan undang-undang lain seperti di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Mungkin kita melihat undang-undang lain yang boleh diguna pakai, seperti PBT kerana saya nampak dendanya tidak memadai kalau RM5,000,” katanya.





