KUCHING: Seorang peniaga kedai perubatan tradisional di sini menanggung kerugian sebanyak RM1.4 juta akibat ditipu sindiket penipuan pelaburan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak menerima laporan daripada mangsa wanita berumur 40 tahun semalam.
Menurutnya, mangsa pada 1 Februari lalu semasa berada di rumah, telah ditawarkan satu pelaburan ‘Crypto Exchange’ oleh orang yang dikenali menerusi aplikasi Weibo.
“Mangsa berminat untuk menyertai pelaburan tersebut kerana dijanjikan pulangan yang tinggi dalam graf pelaburan yang terdapat dalam aplikasi tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa telah membuat 34 transaksi pembayaran kepada 25 akaun berbeza antara 1 Februari hingga 5 Mei lalu.
Jelasnya, keseluruhan pembayaran yang telah dibuat mangsa berjumlah RM1.4 juta.
“Mangsa hanya mendapat satu kali pulangan pelaburan berjumlah RM3,260 pada awal pelaburan iaitu pada 1 Februari.
“Mangsa sedar dirinya ditipu setelah tidak lagi menerima pulangan pelaburan seperti yang dijanjikan,” katanya.






