PADAWAN: Seorang lelaki rugi RM200,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan saham menerusi aplikasi WhatsApp.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, mangsa seorang peniaga kedai runcit berusia awal 50-an terbabit mula terjerat dengan penipuan berkenaan selepas tertarik dengan satu iklan pelaburan saham ketika melayari Facebook awal September 2023.
“Mangsa kemudian berurusan dengan ejen pelaburan yang tidak dikenali melalui aplikasi Whatsapp sebelum nombor telefon mangsa dimasukkan ke dalam kumpulan Whatsapp pelaburan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Azman, ejen terbabit telah memberi penerangan mengenai cara membuat pelaburan dan mangsa diminta membeli saham dengan membuat bayaran ke akaun bank yang diberikan suspek.
Selain itu katanya, mangsa turut dijanjikan keuntungan 30 peratus ke atas pelaburan yang dilakukannya.
“Mangsa telah melakukan lapan transaksi pemindahan wang keseluruhan berjumlah lebih kurang RM200,000 secara atas talian dan melalui kaunter bank ke empat akaun syarikat berbeza pada awal September 2023 sehingga pertengahan Oktober 2023.
“Mangsa hanya menyedari ditipu setelah tidak mendapat apa-apa keuntungan seperti yang dijanjikan malah suspek turut meminta mangsa membuat pembayaran tambahan,” ujarnya.
Susulan itu, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis dan nilai kerugian yang dialami mangsa berjumlah lebih kurang RM200,000.
Kata Mohd Azman lagi, kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun, sebatan dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
“Orang ramai dinasihatkan hanya membuat pelaburan di platform yang betul serta berdaftar dengan bank negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sahaja di samping mendapatkan nasihat kewangan dari ejen berdaftar tentang sesuatu pelaburan.
“Jangan sesekali menekan pautan atau memuat turun aplikasi melalui android package kit (apk) yang tidak diketahui kesahihannya selain jangan mudah mempercayai sesuatu pelaburan yang menawarkan keuntungan lumayan dalam tempoh masa yang singkat.
“Pada masa sama, jangan sesekali memasukkan wang ke akaun bank yang tiada kaitan dengan pelaburan serta membuat semakan senarai syarikat dan laman sesawang yang tidak diberi kebenaran atau kelulusan di www.bnm.gov.my / bnm telelink 1-300-88-5465 (bank negara malaysia) dan www.sc.com.my / (603) 62048999 (suruhanjaya sekuriti malaysia),” katanya.


