ARTIKEL

Kerosakan transformer dan kabel di kawasan Matang susulan vandalisme.

Peningkatan Kes Vandalisme, Cubaan Curi Komponen Elektrik Di Matang Membimbangkan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebanyak 11 kes vandalisme dan cubaan mencuri komponen elektrik direkodkan di kawasan Matang sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini, mengakibatkan kerugian dianggarkan RM396,000 serta gangguan bekalan elektrik kepada beberapa komuniti setempat.

Syarikat SESCO Berhad (SESCO), cabang operasi dan peruncitan Sarawak Energy, memaklumkan kebanyakan kes melibatkan cubaan mencuri komponen tembaga daripada transformer serta peralatan elektrik berkaitan.

Insiden tersebut bukan sahaja mengakibatkan kerosakan kepada infrastruktur bekalan elektrik, malah turut menyebabkan gangguan bekalan kepada penduduk di Sri Kandong, Kampung Jaya Bakti, Kampung Rayu dan kawasan sekitarnya.

Kerosakan transformer dan kabel di kawasan Matang susulan vandalisme.

Dalam satu kejadian di Kampung Rayu pada 28 Jun lalu, bekalan elektrik ke kawasan terjejas terputus selama kira-kira sembilan jam selepas sebuah transformer mengalami kerosakan akibat perbuatan vandalisme.

Pengurus Besar SESCO Wilayah Barat, Effendy Syaiful Abdullah berkata, peningkatan kes vandalisme dan cubaan kecurian aset elektrik memberi kesan langsung kepada kehidupan harian masyarakat selain menimbulkan risiko keselamatan yang serius.

“Ini bukan lagi insiden kerosakan terpencil. Peningkatan kes vandalisme dan cubaan kecurian aset elektrik di Matang amat membimbangkan kerana ia berpotensi mengganggu bekalan elektrik kepada komuniti, menjejaskan aktiviti harian dan membahayakan nyawa,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata Sarawak Energy memandang serius kejadian berkenaan kerana peralatan elektrik yang dirosakkan masih berkemungkinan mempunyai arus elektrik dan boleh menyebabkan kecederaan parah atau renjatan maut.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri, menyentuh atau cuba memeriksa mana-mana pemasangan elektrik yang rosak bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, Sarawak Energy turut menyeru pengusaha pusat kitar semula dan pembeli besi buruk supaya menjalankan pemeriksaan sewajarnya sebelum membeli logam atau komponen yang mencurigakan kerana ia berkemungkinan merupakan komponen yang dicuri daripada aset milik SESCO.

Katanya, kerjasama semua pihak amat penting dalam usaha mengekang kegiatan kecurian yang menjejaskan infrastruktur bekalan elektrik serta kesejahteraan masyarakat.

Bagi menangani isu tersebut, Sarawak Energy bekerjasama rapat dengan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi pelaksanaan operasi bersepadu termasuk pemeriksaan di pusat kitar semula dan pemantauan aktiviti yang disyaki berkaitan dengan penjualan kabel tembaga curi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengesan sebarang aktiviti mencurigakan berhampiran pencawang, transformer, tiang elektrik, kabel atau pemasangan elektrik lain milik SESCO diminta segera membuat laporan kepada pihak polis atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy yang beroperasi 24 jam di talian 1300-88-3111.

Maklumat juga boleh disalurkan melalui e-mel customercare@sarawakenergy.com atau aplikasi SEB Cares dan semua laporan yang diterima akan dirahsiakan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Empat maut padam kebakaran hutan Bromo

JAKARTA: Empat orang maut manakala dua lagi melecur teruk selepas terperangkap dalam asap tebal dan api yang merebak dengan pantas ketika berusaha memadamkan kebakaran hutan

Tubi Mbos khazanah kulinari Bidayuh

TUBI mbos merupakan warisan kulinari masyarakat Bidayuh Biatah di Kampung Pain Bojong yang lahir daripada kearifan tempatan sebagai bekalan makanan mesra alam untuk penduduk ke