ARTIKEL

Wynson (tengah) bersama-sama sebahagian pengguna yang dipercayai menjadi mangsa penipuan jualan barangan keperluan harian menerusi media sosial.

Penipuan jualan barangan keperluan di media sosial babit kerugian lebih RM80,000

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seramai 14 pengguna dan sebuah farmasi dipercayai menjadi mangsa penipuan jualan barangan keperluan harian menerusi media sosial membabitkan kerugian sebanyak RM80,509.98, setakat ini.

Presiden Pertubuhan Pengguna Sarawak (PPS), Dr Wynson Ong Teck Ping berkata, jumlah aduan dan nilai kerugian yang direkodkan menunjukkan kes ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.

“PPS memandang serius peningkatan aduan melibatkan seorang wanita tempatan yang disyaki menjalankan aktiviti penjualan pelbagai barangan keperluan harian seperti susu bayi, lampin pakai buang, ubat-ubatan serta barangan rumah.

Sehingga 17 Jun 2026, jumlah kerugian yang direkodkan adalah sebanyak RM80,509.98, tidak termasuk aduan tambahan yang masih dalam proses semakan serta pengesahan dokumen dan laporan oleh pengadu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, semakan awal aduan mendapati urus niaga pada mulanya berjalan lancar apabila sebahagian pembeli menerima barangan yang dipesan, sekali gus mendorong mereka membuat pembelian berulang terutamanya apabila ditawarkan harga promosi yang lebih rendah.

“Bagaimanapun, selepas beberapa transaksi, pembeli mendakwa pembayaran sudah dibuat tetapi barangan tidak diterima seperti yang dijanjikan walaupun tempoh penghantaran yang dipersetujui telah tamat,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa dalam kes berasingan, sebuah farmasi mendakwa individu sama melakukan transaksi pembayaran tidak sah dengan mengemukakan resit pembayaran yang tidak sepadan dengan jumlah sebenar pembelian ubat-ubatan.

“Kes ini masih berdasarkan aduan yang diterima dan memerlukan siasatan lanjut oleh pihak berkuasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mendedahkan kes itu telah mendapat perhatian pihak berkuasa dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak dijangka menjalankan siasatan lanjut berdasarkan laporan yang diterima.

“Kami tidak menolak kemungkinan terdapat mangsa lain yang belum tampil membuat aduan. Justeru, kami menggesa mangsa untuk tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan serta mencegah lebih ramai pengguna daripada menjadi mangsa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada, khususnya dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat yang dapat mendorong ramai pengguna mencari harga lebih murah di platform dalam talian.

“Tekanan kos sara hidup menyebabkan pengguna lebih cenderung mencari tawaran murah, tetapi keadaan ini juga membuka ruang kepada risiko penipuan jika tidak disemak dengan teliti terlebih dahulu,” tambahnya.

Pada masa sama, beliau juga mengingatkan pengguna untuk berhati-hati dalam sebarang transaksi dalam talian dengan tidak membuat pembayaran secara terburu-buru tanpa pengesahan, selain mengelakkan pembayaran ke akaun peribadi tanpa verifikasi perniagaan yang sah.

“Selain itu, orang ramai harus menyemak latar belakang penjual sebelum melakukan sebarang transaksi serta menggunakan kaedah pembayaran yang lebih selamat dan boleh dikesan.

Kesedaran pengguna adalah benteng utama dalam menangani penipuan dalam talian yang semakin berleluasa,” tegasnya.

Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengalami situasi yang sama boleh menghubungi talian rasmi PPS di 017-7109299.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Perintah Sarawak melanja sekula anak

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg datai bejadi Pengawa Nyua Pemer i Perintah Sarawak ngagai waris staf Servis L utur

XPDC Bario 375km meri pengelantang

KUCHING: Pengeransing Sapit Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ngabas jalai menua ulu nengah XPDC 1.0 Bario ba taun 2025 dipuji komuniti Kenyah enggau