KUCHING: Festival Makanan Persatuan Autistik Kuching (KAA) kembali lagi bagi mengumpul dana untuk menyokong program pendidikan, intervensi serta penjagaan golongan autistik termasuk inisiatif penjagaan jangka panjang untuk individu autisme dewasa.
Pengerusi Penganjur merangkap Pengerusi Pengumpulan Dana KAA, Connie Yeo Chia Lin berkata, program tahunan tersebut akan berlangsung pada 2 Ogos depan, dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari di Dewan Association of Churches, Jalan Stampin, di sini.

“Festival tahunan ini menghimpunkan keluarga, sukarelawan, penaja, penjual makanan, sekolah, gereja, syarikat korporat dan masyarakat umum bagi menyokong individu autisme serta keluarga mereka.
“Setiap jualan makanan, tajaan, penyertaan gerai dan kunjungan membantu kami meneruskan perkhidmatan yang memberi manfaat langsung kepada pelajar,” katanya pada sidang media Festival Makanan KAA, hari ini.
Penganjuran itu juga bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai autisme, menggalakkan budaya inklusif dan sokongan komuniti terhadap individu autisme dan keluarga mereka.
“Pengunjung boleh menikmati pelbagai jualan makanan, gerai komuniti, produk seni dan cenderamata serta pelbagai aktiviti mesra keluarga sepanjang program berlangsung,” katanya lagi.
Menurutnya, dana yang dikumpulkan akan digunakan bagi menampung keperluan operasi dan program KAA termasuk sokongan pendidikan, program intervensi, latihan kemahiran, pendedahan vokasional, pengangkutan, penyelenggaraan fasiliti, aktiviti pembangunan pelajar serta program autisme dewasa.
“Antara cabaran terbesar keluarga ketika ini ialah penjagaan dan kesejahteraan individu autisme apabila meningkat dewasa.
“Ramai ibu bapa berdepan keletihan, tekanan emosi dan kebimbangan mengenai masa depan anak mereka apabila mereka tiada lagi nanti,” ujarnya.
Connie berkata, KAA kini terus memperkukuh program penjagaan harian dan latihan vokasional untuk individu autisme dewasa bagi menyediakan aktiviti harian lebih bermakna serta pembangunan kemahiran hidup.
Katanya, program sedia ada meliputi latihan kulinari dan bakeri, pembungkusan dan cenderamata, berkebun, penghasilan produk seni autisme serta program vokasional berasaskan komuniti.
“Walaupun kelihatan sederhana, program ini memberi makna besar kepada keluarga kerana membantu membina rutin, keyakinan diri, kebebasan dan harapan buat anak-anak mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata KAA turut mempunyai aspirasi jangka panjang untuk membina pusat penjagaan dan rumah sokongan khas bagi individu autisme dewasa pada masa hadapan.
Pusat tersebut akan menyediakan persekitaran selamat, tersusun dan penuh penjagaan untuk individu autisme dewasa walaupun ibu bapa mereka tidak lagi mampu menjaga mereka.
“Ia bukan sekadar membina sebuah bangunan tetapi memberi ketenangan fikiran kepada ibu bapa yang sentiasa memikirkan masa depan anak-anak mereka.
“Kita tidak mahu individu autisme dilupakan apabila mereka semakin dewasa,” katanya.


