Penjaja nasi ayam terlepas tali gantung

KUCHING: Seorang penjaja nasi ayam terlepas hukuman gantung sampai mati setelah Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskannya dari tuduhan mengedar dadah, semalam.

Hakim Ravithran N Paramaguru dalam memberi keputusannya di pengakhiran perbicaraan kes terhadap Liew Shan Ho berkata bahawa pendakwaan telah gagal membuktikan ada kes prima-facie.

Shan Ho berusia 24 pada mulanya menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952 kerana mengedar dadah jenis syabu mengandungi 385.75 gram methamphetamine pada jam 3.30 petang di sebuah rumah di RPR Matang Malihah di sini pada 2 Mei lalu.

Mengikut seksyen berkenaan, tertuduh menghadapi hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Namun setelah Timbalan Pendakwa Raya Hayda Faridzal Abu Hassan memanggil enam saksi bagi membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh bagi elemen pemilikan dan kawalan dadah berkenaan, mahkamah mendapati bahawa pendakwaan gagal membuktikan bahawa dadah berkenaan adalah milik tertuduh.

Hakim Ravithran berpendapat bahawa terdapat banyak elemen bercanggah di dalam testimoni diberi saksi terutama bagaimana dadah berkenaan ditemui polis.

Dengan itu, mahkamah memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan tertuduh dari dakwaan kerana pendakwaan gagal membuktikan tertuduh secara ekslusif memiliki dadah berkenaan.

Tertuduh diwakili peguam Osman Ibrahim dan Roger Chin.

BEBAS… Tertuduh (tengah) bersama peguamnya di luar pintu utama mahkamah.

Suara Sarawak