KOTA SAMARAHAN: Seorang penjawat awam kerugian RM120,233 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan kerja sambilan dalam talian yang menjanjikan pulangan komisen sehingga 200 peratus.
Mangsa, seorang lelaki berusia 59 tahun, dikatakan tertarik dengan iklan tawaran kerja sambilan yang dipaparkan di Facebook sebelum menjadi mangsa penipuan terancang selama hampir tiga minggu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Barry William, berkata kejadian bermula pada 26 Mac lalu ketika mangsa berada di kediamannya apabila menekan pautan iklan berkenaan yang kemudiannya membawa mangsa ke aplikasi WhatsApp.
“Mangsa kemudian diperkenalkan kepada satu platform dikenali sebagai “Supreme” yang menawarkan tugasan mudah, iaitu menerima tempahan barang serta membuat pengesahan pembelian dengan janji komisen lumayan,” katanya dalam kenyataan.



Tambah Barry, bagi meyakinkan mangsa, sindiket terlebih dahulu menawarkan dua pakej permulaan bernilai RM30 dan RM200.
Katanya, selepas membuat pembayaran, mangsa menerima semula modal bersama keuntungan berjumlah RM315.
“Taktik itu menyebabkan mangsa semakin yakin sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan Telegram dikenali sebagai “Instruction VIP3” pada keesokan harinya.
“Dalam kumpulan berkenaan, mangsa diarahkan oleh individu yang mendakwa sebagai pentadbir dan pegawai khidmat pelanggan supaya menambah modal secara berperingkat bagi melengkapkan tugasan serta membolehkan pengeluaran keuntungan yang lebih besar.
“Terpedaya dengan janji tersebut, mangsa melakukan 16 transaksi pindahan wang ke beberapa akaun bank serta kod QR berbeza antara 27 Mac hingga 17 April lalu,” katanya.
Bagaimanapun, ujar Barry, selepas semua bayaran dibuat, mangsa gagal mengeluarkan sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan.
Menyedari dirinya ditipu, beliau berkata mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah percaya dengan tawaran kerja sambilan dalam talian yang menjanjikan keuntungan luar biasa, terutama yang meminta modal awal atau bayaran tambahan secara berperingkat,” katanya.



