CABARAN MTK X NAO Pro Fight 2025 yang diadakan di NAO Muaythai Stadium Nasi Abe, Kota Samarahan, baru-baru ini berlangsung meriah.
Penganjuran kejohanan dua hari (8 dan 9 Ogos) itu dilihat amat bertepatan.
Kejohanan itu bukan sahaja mencapai objektif mempromosikan sukan tempur jarak dekat, malah menjadi pentas melahirkan atlet pelapis muaythai secara tidak langsung.
Hal ini mengambil kira pelibatan ramai atlet muda yang mewakili pelbagai kelab sedia ada.
Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Jumaat Ibrahim menyifatkan inisiatif yang diambil oleh Kelab Muaythai Kenyalang, Nasi Abe dan jawatankuasa penganjur kejohanan itu sangat bertepatan.
Menurut Jumaat, usaha itu secara tidak langsung membantu persatuan mengangkat mutu sukan muay Thai di Sarawak, khususnya di Bahagian Samarahan.
“PMNS mengucapkan syabas kepada jawatankuasa penganjur atas komitmen berterusan dalam menganjurkan kejohanan seperti ini.
“Sememangnya ia sangat penting bagi kita untuk mencungkil atlet baharu yang boleh diketengahkan mewakili Sarawak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 kelak serta pelbagai kejohanan berprestij yang lain,” ujar Jumaat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Perbadanan Sukan Sarawak dan Majlis Sukan Negeri Sarawak atas sokongan berterusan terhadap semua program anjuran PMNS.
“Pihak kami amat teruja dengan sokongan yang diberikan dan berharap kerjasama yang terjalin itu dapat berkekalan,” tegasnya. Antara yang menarik perhatian dalam kejohanan dua hari itu ialah sokongan ibu bapa terhadap anak-anak.
“Inilah kelebihan yang ketara kerana kita dapat melihat ukhuwah yang lebih harmoni dengan adanya kejohanan seperti ini,” katanya.
Sementara itu, penutup saingan memperlihatkan kehebatan atlet handalan menguasai pentas masingmasing.
Kejayaan Kelab Muaythai Kenyalang (MTK) mencuri tumpuan apabila tiga pesertanya menjuarai perlawanan profesional, sekali gus membawa pulang tali pinggang kejuaraan.
Antara aksi tumpuan ialah pertemuan Aiman dengan Kilat dari Kelab Sting yang memihak kepada wakil MTK, meskipun menerima tentangan sengit daripada lawannya.
NAO Muaythai Stadium Nasi Abe, Kota Samarahan, bergema dengan sorakan penyokong MTK apabila Razie menumbangkan seorang lagi pencabar dari Sting, Nuno.
Sementara itu, Adek turut menceriakan hari cemerlang buat MTK menerusi kemenangan ke atas wakil War 15, Syed. Satu lagi perlawanan profesional turut diungguli MTK menerusi Adzrif yang menumpaskan Danish (Legacy).
Turut berlangsung lima aksi separa profesional (semi pro) yang tidak kurang hebatnya apabila menampilkan peserta daripada MTK, Legacy, Sting dan DMT X Rentap.
Satu lagi perlawanan special bout menyaksikan kemenangan Jeffrison (MTK) yang menumpaskan Mokhairyl Aminuddin dari Kelab Sting.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ahmad Ibrahim, yang juga penaung Kelab MTK, membuat kejutan apabila hadir memberikan sokongan moral serta sumbangan dana kepada penganjuran cabaran tersebut.
Kejohanan ini merupakan kesinambungan Cabaran NAO yang dianjurkan pada Julai lalu di venue sama, sebagai platform memperkasakan sukan muaythai di sini.
Kejohanan ini adalah anjuran bersama MTK, Nasi Abe Original, Persatuan Muaythai Kuching, Persatuan Muaythai Samarahan dan NAO Pro Fight.
Kejohanan ini turut mendapat sokongan MYSED, SSC, Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dan Persatuan Muaythai Malaysia (PMM).
Sebanyak 51 perlawanan dilangsungkan dari pagi hingga malam, membabitkan pelbagai kategori berat amatur, separa profesional dan profesional.



