ARTIKEL

Miss Global Asian 2026 - ALEXANDRA ZANELA.

Pentas serantau penuh inspirasi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Edisi keempat Miss & Mister Global Asian 2026 membuktikan pertandingan ratu dan jejaka bukan lagi sekadar pentas kecantikan, sebaliknya platform antarabangsa yang mengangkat budaya, kepimpinan dan identiti Asia moden ke tahap yang lebih bermakna.

Malam kemuncak yang berlangsung dengan gilang-gemilang di Auditorium Shantanand, Kuala Lumpur baru-baru ini menjadi saksi pertemuan delegasi daripada pelbagai negara, penggiat industri, wakil media dan peminat pertandingan yang turut bersama-sama meraikan semangat perpaduan serantau dalam suasana yang penuh warna-warni dan inspirasi.

Diasaskan oleh anak kelahiran Sarawak, Nickson Sim menerusi Tiara Management, pertandingan ini semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai medan pembangunan belia yang menekankan keyakinan diri, kecerdasan emosi dan tanggungjawab sosial.

Menurut Nickson, sejak diperkenalkan, Miss & Mister Global Asian membawa misi yang jelas, iaitu membentuk duta muda yang bukan sahaja berpenampilan menarik, tetapi juga berfikiran global, berakar pada budaya sendiri dan mampu menjadi suara positif dalam komuniti antarabangsa.

Menurutnya, platform ini turut memberikan ruang kepada peserta untuk mengembangkan potensi diri melalui pengalaman lintas budaya yang jarang diperoleh di tempat lain.

MISTER FILIPINA, meraih anugerah Kostum Kebangsaan Terbaik.

“Sepanjang minggu pertandingan antara 26 Januari hingga 30 Januari lalu, para peserta melalui jadual padat yang merangkumi sesi temu duga, persembahan kebudayaan, lawatan pelancongan dan pertunjukan fesyen.

“Seramai 20 peserta daripada 10 negara mengambil bahagian, termasuk Malaysia, Filipina, Singapura, Kemboja, Thailand, Jepun, India, Sri Lanka, Kanada dan Azerbaijan.

“Setiap aktiviti dirancang bukan sekadar menguji persembahan pentas, tetapi juga kebolehan komunikasi, karisma semula jadi, keupayaan kepimpinan dan nilai sebagai duta budaya.

“Dalam masa yang sama, para delegasi turut berpeluang menikmati keunikan Malaysia sebagai tuan rumah, sekali gus membina persahabatan merentasi sempadan yang dijangka berkekalan selepas pertandingan berakhir,” katanya kepada Suara Sarawak.

Di samping itu, jelasnya, malam akhir menampilkan segmen yang dinanti-nantikan, bermula dengan peragaan Kostum Kebangsaan yang memukau, iaitu peserta menonjolkan warisan negara masing-masing melalui busana kreatif dan penuh simbolik.

Sorakan penonton bergema apabila peserta beralih ke pusingan Pakaian Sukan dan Pakaian Pantai yang menonjolkan kecergasan serta keyakinan diri, sebelum pentas diserikan dengan keanggunan Gaun Malam bagi peserta wanita dan Pakaian Formal bagi peserta lelaki.

Setiap langkah di pentas menggambarkan latihan, disiplin dan dedikasi yang dicurahkan sepanjang minggu pertandingan.

PANEL JURI (dari kiri ke kanan) Liz Razali, Jesseca Long, Faiz Noh, Sheena Shan dan Adeline Hokulani bersama-sama Nickson Sim dan Leo Raynold.

Kemuncak intelektual pertandingan terserlah dalam segmen Soal Jawab separuh akhir apabila peserta terpilih menyampaikan pandangan tentang isu semasa, nilai peribadi dan visi masa depan di hadapan panel juri profesional.

Di sinilah jelas kelihatan gelaran yang dipertandingkan menuntut lebih daripada rupa paras, sebaliknya menilai keupayaan berfikir secara kritis, berkomunikasi secara berkesan dan menunjukkan empati terhadap masyarakat sejagat.

Jawapan yang jujur dan bernas membezakan peserta yang benar-benar bersedia untuk memikul peranan sebagai duta antarabangsa.

Kemuncaknya, mahkota Miss Global Asian 2026 menjadi milik Alexandra Zanela dari Kanada, manakala gelaran Mister Global Asian 2026 disandang oleh Rey John Paul Sabado dari Filipina.

Kedua-duanya dimahkotakan oleh penyandang terdahulu dalam suasana penuh emosi dan sorakan gemuruh.

Alexandra, seorang model, usahawan, pempengaruh dan sarjana berketurunan Cina-Kanada, membawa kisah perjalanan hidup yang menginspirasi.

REY JOHN PAUL SABODO bersama-sama Pengasas, Nickson Sim dan Mister Global Asian 2025, Rapin Poeun.

Pengalamannya mengembara ke lebih 30 negara membentuk perspektif global yang luas, sementara minatnya dalam bidang kecerdasan emosi, kepimpinan perniagaan, seni dan sains menjadikan beliau simbol wanita moden yang berilmu dan berwawasan.

Melalui platform media sosial serta inisiatif pembangunan diri, beliau aktif memperkasakan wanita agar lebih yakin, berdaya tahan dan berani memimpin dalam pelbagai bidang.

Di samping itu, Rey menonjol dengan latar belakang akademik yang kukuh dalam bidang perakaunan serta kerjaya sebagai akauntan maya bagi syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Berasal dari Nueva Ecija dan Pangasinan, beliau membawa imej lelaki moden yang berdisiplin, merendah diri dan berprinsip.

Mister Global Asian 2026, REY JOHN PAUL SABODO.

Fokus advokasinya terhadap pemerkasaan belia serta sokongan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik menyentuh hati ramai, sekali gus mengukuhkan kredibilitinya sebagai duta yang membawa makna sebenar kepimpinan melalui khidmat masyarakat dan pendidikan.

Barisan juri memuji Alexandra atas keanggunan dan kepetahannya berkomunikasi, manakala Rey dipilih kerana karisma serta rasa tanggungjawab yang tinggi sebagai contoh teladan kepada generasi muda.

“Miss dan Mister Global Asian bukan sekadar pertandingan pentas, tetapi platform budaya yang membentuk duta muda untuk menghargai warisan mereka sambil berani membawa suara Asia ke peringkat global.

“Kami mahu setiap peserta pulang bukan hanya dengan pengalaman indah, tetapi dengan misi untuk memberikan impak positif kepada masyarakat,” kata Pengasas, Nickson, ketika mengulas kejayaan penganjuran tahun ini.

Dengan berakhirnya edisi 2026, Miss dan Mister Global Asian kini bersedia untuk memulakan lembaran baharu melalui siri penampilan antarabangsa, projek kebajikan dan pertukaran budaya yang bakal diterajui oleh dua duta baharu ini.

Lebih daripada sekadar selempang dan mahkota, mereka memikul harapan untuk menyebarkan mesej persahabatan, persefahaman dan keamanan sejagat.

Pertandingan ini terus membuktikan kecantikan dan ketampanan paling bermakna apabila disertai tujuan, empati dan kepimpinan yang tulen, selaras dengan semangat Asia moden yang inklusif dan berpandangan jauh.

MISS MALAYSIA pemenang Kostum Kebangsaan Terbaik.

BERITA LAIN

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

BERITA TERBARU