Bengkel Teater Kanak-Kanak bukan sekadar aktiviti seni, malah menjadi wahana pembentukan jati diri melalui lakonan, disiplin dan ekspresi.
Program ini memberi peluang kepada kanak-kanak untuk berkembang bukan sahaja daripada aspek seni, tetapi juga aspek komunikasi, kerja berpasukan dan keyakinan diri.
Lebih daripada itu, seni teater ini masih relevan dan berpotensi besar sebagai medium pendidikan yang menyeronokkan dan berkesan. Hal ini amat penting dalam dunia kanak-kanak yang sedang pesat berubah dalam era digital.
Justeru, Bengkel Teater Kanak-Kanak yang dianjurkan oleh Persatuan Grup Teater Ngoncong dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak berlangsung dengan meriah pada 26 hingga 27 Julai lalu di Studio Sang Rawi, Kuching.
Program selama dua hari ini berjaya menghimpunkan 23 peserta muda yang bersemangat tinggi untuk mendalami dunia lakonan dan seni persembahan.
Penganjuran bengkel ini bukan sahaja bertujuan untuk memperkenalkan asas teater kepada kanak-kanak, malah menjadi medium awal untuk mencungkil bakat seni persembahan di peringkat akar umbi.
Pegawai JKKKN Sarawak, Mohammad Juhan Junaidi, yang juga pemain teater berpengalaman, menyifatkan teater sebagai medium penting dalam pembentukan sahsiah diri. Baginya, teater bukan sekadar lakonan, tetapi mengandungi falsafah kehidupan yang mendalam.
“Dalam teater, segala-galanya berbalik kepada diri kita sendiri. Saya juga pemain teater. Falsafah yang sering saya bawa ialah, sejauh mana kita tersesat, kita akan kembali kepada kebenaran,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan mengawal penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak. Menurutnya, kelas teater mampu menjadi ruang alternatif yang menyeronokkan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap telefon pintar.
“Alhamdulillah, sudah sebulan anak saya tidak bermain telefon dan kembali menjadi manusia normal, walaupun baru berumur tiga tahun. Cubalah, wahai ibu bapa, untuk tidak memberikan telefon kepada anak selama sebulan. Saya yakin, insya-Allah mereka akan kembali menjadi manusia normal,” katanya bersahaja namun penuh makna.
Sementara itu, fasilitator bengkel, Abdillah Untong, memperkenalkan pendekatan unik melalui permainan imaginatif seperti main dango atau main pondok-pondok sebagai kaedah latihan utama.
Pendekatan ini memberi kesan besar kepada peserta yang kebanyakannya masih di peringkat sekolah rendah.
“Melalui permainan ini, mereka diberi peranan seperti ayah, ibu dan anak. Secara tidak langsung, mereka mempelajari teknik asas teater seperti blocking dan penggunaan vokal yang betul dalam suasana santai,” kata Abdillah.
Beliau percaya bahawa pembelajaran melalui permainan bukan sahaja menyeronokkan, malah sangat berkesan dalam membantu kanak-kanak menyatakan diri, mengatasi rasa malu dan membina keyakinan untuk bercakap di hadapan khalayak.
“Peranan teater sangat penting dalam membentuk sahsiah kanak-kanak. Mereka menjadi lebih yakin untuk berdiri di hadapan khalayak, menyuarakan pandangan dan berani menyatakan pendapat,” tambah beliau.
Dalam pada itu, ketua penganjur, Syafaat Zainal Abidin, dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat. Ini termasuk Ketua I Persatuan Grup Teater Ngoncong merangkap penasihat bengkel, Hazis Wahab, serta para ibu bapa yang sudi menghantar anak-anak mereka menyertai bengkel ini.
Beliau turut menyatakan iltizam untuk meneruskan program seumpama ini pada masa akan datang.
“Kami akan terus menjalin kesinambungan dengan adik-adik yang menyertai bengkel ini. Kami berharap segala ilmu yang telah dicurahkan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin,” ujarnya.
Beliau turut mendedahkan bahawa Grup Teater Ngoncong merancang beberapa projek susulan, termasuk kelas lakonan berkala serta pementasan teater kanak-kanak bertajuk Rise of the True King yang dijadualkan berlangsung pada Disember ini.
“Insya-Allah, selepas ini kami akan menganjurkan teater kanak-kanak yang melibatkan lebih ramai peserta. Saya berharap adik-adik yang menyertai bengkel ini akan terus menyerlahkan bakat mereka,” katanya penuh semangat.
Kesemua program yang dianjurkan adalah bersempena dengan ulang tahun ke-30 Persatuan Grup Teater Ngoncong, Sarawak.
Dengan sokongan padu daripada JKKKN Sarawak, Studio Sang Rawi dan para fasilitator berpengalaman, tidak mustahil bakat-bakat muda ini bakal menjadi pelapis kepada industri seni persembahan tanah air.
Untuk mengikuti perkembangan aktiviti dan program akan datang, orang ramai boleh mengikuti laman Facebook rasmi Grup Teater Ngoncong Sarawak dan Sang Rawi Productions.



