SEBUYAU: Kerajaan Sarawak memberi jaminan bahawa harga tambang AirBorneo terus kekal rendah di bawah kepimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut Abang Johari, penetapan tambang tiket RM375 di bawah promosi Sarawakku Sayang memberi impak positif kepada masyarakat dengan menstabilkan harga pasaran.
“Harga yang ditetapkan berjaya menstabilkan pasaran tambang, tiket untuk seorang boleh mencecah RM800.
“Oleh itu, saya tetapkan harga tersebut untuk setahun dan tidak berubah, dan mereka (syarikat penerbangan) boleh bersaing harga tambang ini jika mahu.
“Selagi saya menjadi Premier, saya tidak mahu harga tiket ini naik. Bahkan, saya mahu turunkan lagi harga tambang jika kita mempunyai rezeki lebih, demi keperluan rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Batang Lupar 1 di sini, hari ini.
Menurutnya, syarikat penerbangan AirBorneo ditubuhkan bukan untuk mengaut untung semata-mata, namun bertujuan menghubungkan penduduk setempat dengan kawasan luar dari kepulauan Borneo.
“Kita perlu ada niat baik (untuk membantu rakyat), justeru syarikat penerbangan kita tidak hanya sekadar mengambil untung,” katanya.
Sehubungan itu, Abang Johari turut menjelaskan bahawa harga RM375 yang ditawarkan AirBorneo merangkumi semua termasuk makanan, bagasi dan sebagainya, berbanding syarikat penerbangan lain yang mengenakan caj tambahan.
“Hal berkaitan pengurusan AirBorneo, serahkan kepada kami. Kami sudah stabilkan harga tambang, pengguna terbuka untuk memilih syarikat penerbangan yang ingin digunakan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Premier meluahkan keyakinan bahawa pembinaan lapangan terbang baharu di Tanjung Embang juga akan memberi kesan melimpah kepada penduduk sekitar.
“Ekonomi kita mesti disusun dengan baik. Kita mesti ada kapasiti dan cara untuk menguruskan ekonomi dengan cara berhemah yang seterusnya memberi lonjakan ekonomi secara keseluruhannya,” katanya.



