KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang meneliti keperluan menubuhkan sebuah fakulti perubatan di institusi pengajian tinggi milik negeri sebagai langkah menangani kekurangan kakitangan perubatan yang kini berada pada tahap amat kritikal.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata sebuah kumpulan kajian kebolehlaksanaan dicadangkan untuk ditubuhkan dan diamanahkan kepada Universiti Teknologi Sarawak (UTS) bagi menjalankan kajian selama enam bulan mengenai keperluan berkenaan.
“Adalah sangat penting untuk kita menjalankan kajian kebolehlaksanaan.
Ini merupakan salah satu syarat sebelum kita diberikan lesen untuk mengendalikan fakulti perubatan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata objektif kajian tersebut meliputi penilaian permintaan terhadap program pengajian perubatan peringkat sarjana muda serta keupayaan institusi dari segi tenaga manusia dan infrastruktur.
Selain itu, katanya kajian turut menilai pematuhan terhadap peraturan dan prosedur yang ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi, Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Annuar berkata kajian itu juga akan menilai keupayaan kewangan termasuk kos modal, kos berulang, penilaian risiko serta cadangan pelan mengurangkan risiko.
“Ia turut menyentuh pelan hala tuju dari segi pelaksanaan, proses akreditasi dan pengambilan pelajar,” jelasnya.
Katanya, kajian itu dijangka bermula pada Januari 2026 dan laporan akan diserahkan pada Jun sebelum diperhalusi Kerajaan Sarawak bagi menentukan langkah susulan.
“Kerajaan akan meneliti semua isu yang dibangkitkan oleh kumpulan kajian tersebut dan jika didapati berdaya laksana, usaha menubuhkan fakulti berkenaan akan diteruskan,” katanya.
Menurutnya, komitmen Kerajaan Sarawak itu penting bagi menangani kekurangan pegawai perubatan, pakar dan jururawat di negeri ini.
“Ketika ini kita kekurangan 1,817 pegawai perubatan, 246 pakar dan 2,300 jururawat di seluruh Sarawak,” katanya.
Justeru, beliau turut menggesa Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan segera kerana penyediaan perkhidmatan kesihatan adalah hak asasi rakyat Sarawak.
“Ini adalah tahap kritikal. Perlu diingatkan bahawa tanggungjawab ini mengikut Perlembagaan merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan,” tegasnya.
Sementara itu, mengenai skim khas untuk pelajar perubatan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), beliau berkata Kerajaan Sarawak komited memastikan lebih ramai anak Sarawak berjaya menjadi doktor.
“Skim khas Yayasan Sarawak diwujudkan sejak 2018.
“Sejak itu, seramai 290 pelajar telah menerima manfaat dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM110 juta.
“Inilah komitmen besar Kerajaan Sarawak dalam menangani kekurangan doktor secara berperingkat,” katanya.



