𝗞𝗨𝗖𝗛𝗜𝗡𝗚: Cabaran penularan maklumat palsu dan ancaman teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu ditangani secara berhemah agar masyarakat tidak mudah terpedaya, tegas Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Menurutnya, penularan maklumat tidak sahih kini berlaku lebih pantas berbanding perkara yang sebenar.
Katanya, pada 2023, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menurunkan sebanyak 5,367 kandungan palsu serta jumlah ini meningkat kepada 17,245 pada tahun 2024. Malah, sehingga 1 Ogos lalu, sebanyak 16,110 kes telah direkodkan.


“Lebih membimbangkan, penipu atau scammer kini menggunakan teknologi AI untuk menghasilkan video dan suara palsu bagi memperdaya mangsa. Ini bukti bahawa teknologi bukan sahaja membawa peluang, tetapi juga ancaman baharu.
“Maka, saya ingin mengingatkan semua – tidak pasti, jangan kongsi,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Komunikasi 2024 (Zon Sarawak) di Auditorium P. Ramlee, RTM, di sini, pagi tadi.
Beliau turut berkongsi statistik penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan – pada 2023, sebanyak 6,297 laporan diterima melonjak kepada 63,652 laporan pada 2024, manakala setakat 1 Ogos lalu, MCMC telah menurunkan 49,082 kandungan berkaitan penipuan.
“Bagi menangani isu ini, kita di kementerian menyediakan pelbagai saluran semakan fakta seperti Biar Betul, Pembantu Semakan Fakta Kecerdasan Buatan (AIFA) serta portal Sebenarnya.my.
“Sejak dilancarkan pada Januari lalu, AIFA telah menerima sebanyak 142,257 mesej sehingga 31 Julai 2025, iaitu purata 769 mesej sehari,” ujarnya.
Mengenai majlis itu, beliau merakamkan penghargaan kepada 80 penerima APC Zon Sarawak 2024 yang terdiri daripada 43 pegawai Jabatan Penyiaran (RTM), 34 daripada Jabatan Penerangan (JAPEN), dua daripada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dan seorang daripada FINAS.
Secara keseluruhan, menurutnya, seramai 691 warga Kementerian Komunikasi menerima APC melibatkan Semenanjung (541), Sabah (70) dan Sarawak (80).
“Pengiktirafan seperti APC diharap menjadi pendorong kepada warga kementerian untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan awam. Pembangunan keupayaan, penguasaan teknologi baharu serta integriti dalam pentadbiran merupakan asas penting dalam memastikan perkhidmatan kerajaan kekal berkesan dan diyakini rakyat.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan terhadap reformasi pentadbiran yang telah membolehkan Malaysia melonjak 11 anak tangga dalam Laporan Daya Saing Dunia Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) 2025, iaitu di kedudukan ke-23 berbanding tangga ke-34 pada tahun sebelumnya.
Dalam majlis tersebut juga, Teo menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada waris dua warga RTM yang telah meninggal dunia, Muhd Usman Danial Irwan Budi, anak kepada Allahyarham Irwan Budi Annuar yang berkhidmat sejak 2005, serta Paul Jackson Ding, suami kepada mendiang Geogina Clare yang berkhidmat sejak 2011.
Tabung Kasih@HAWANA yang digerakkan Kementerian Komunikasi melalui BERNAMA sejak HAWANA 2023 menjadi simbol keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap peranan media dan setakat ini memberi manfaat kepada 480 pengamal media di seluruh negara.
Beliau kemudiannya mengajak warga kementerian untuk bersama-sama menghayati semangat tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025, “Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni”, termasuk dengan menyemarakkan kempen kibar Jalur Gemilang sebagai simbol perpaduan dan kebanggaan rakyat.



