KUALA LUMPUR: Data Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menunjukkan permintaan penumpang udara (RPK) pada Mei 2026 susut 2.2 peratus tahun ke tahun.
Biarpun begitu, prestasi di luar wilayah Timur Tengah mencatatkan pertumbuhan kecil sebanyak 0.7 peratus.
“Jumlah kapasiti yang diukur dalam kilometer tempat duduk tersedia (ASK) turun 2.3 peratus tahun ke tahun. Faktor beban muatan pula adalah 83.5 peratus atau naik 0.1 mata peratus (ppt) berbanding Mei 2025 yang merupakan rekod tertinggi untuk Mei,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Laporan IATA menunjukkan permintaan global bagi laluan antarabangsa menyusut 1.6 peratus tahun ke tahun pada Mei 2026. Sebaliknya, wilayah selain Timur Tengah merekodkan prestasi memberangsangkan dengan peningkatan sebanyak 3.1 peratus.
Laporan IATA juga menunjukkan penurunan kapasiti sebanyak 2.4 peratus berbanding tahun sebelum ini.
Bagaimanapun, prestasi muatan kekal positif pada kadar 83.7 peratus, meningkat 0.7 ppt berbanding Mei 2025.
Sementara itu, permintaan domestik menguncup 3.1 peratus berbanding Mei 2025, seiring dengan penurunan kapasiti sebanyak 2.1 peratus tahun ke tahun.
Perkembangan ini menyaksikan faktor muatan berada pada kadar 83 peratus, iaitu susut 0.8 mata peratusan berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata, penyusutan 28.4 peratus dari tahun ke tahun dialami syarikat penerbangan di Timur Tengah adalah susulan daripada konflik Asia Barat yang mengurangkan permintaan keseluruhan sebanyak 2.2 peratus pada Mei 2026.
Namun, angka itu memaparkan peningkatan yang ketara dari segi penyusutan 46.6 peratus dicatatkan pada April lepas yang memaparkan daya tahan rantau itu.
“Selain itu, kami turut menyaksikan penguncupan permintaan bagi Amerika Utara dan Asia, sebahagian besarnya berkait rapat dengan keadaan pasaran di Amerika Syarikat dan China,” katanya.
Secara keseluruhannya, beliau berkata permintaan bagi Mei 2026 kebanyakannya berdaya tahan walaupun berdepan kenaikan harga bahan api dan tambang penerbangan.
“Walaupun ramai menganggap penyusutan mendadak harga minyak sebagai perkembangan yang menggalakkan, cabaran susulan perang AS dengan Iran itu berkemungkinan ketara untuk tempoh agak lama.
“Bekalan minyak yang melintasi Selat Hormuz masih goyah dan kemungkinan memerlukan masa lebih panjang sebelum manfaat daripada harga minyak yang rendah dapat dilihat menerusi harga bahan api jet yang kembali normal,” katanya.-Bernama


