SIBU: Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Upper Lanang, semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili dalam satu kenyataannya memaklumkan, kemalangan itu dikatakan berlaku lebih kurang jam 6.22 pagi.
“Kemalangan berlaku ketika seorang wanita tempatan berumur 21 tahun, semasa memandu pacuan empat roda bergerak melalui Jalan Upper Lanang, sampai di tempat kejadian telah terlanggar motosikal yang sedang bergerak di hadapan lorong sebelah kiri jalan.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal iaitu seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun telah mengalami cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Susulan itu, Zulkipli menegaskan bahawa pihak polis masih menjalankan siasatan kes di bawah Sek.41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.





