BINTANGOR: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan jenis pikap di Jalan Lasi menghala ke Jalan KJD, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira 5.10 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Brahim Jika, 24, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superitendan Tansli Mering berkata, mangsa yang berasal dari Rumah Jika, Nanga Labah, Pakan itu dilaporkan menunggang motosikal dari arah Jalan KJD sebelum bertembung dengan kenderaan terbabit.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu pikap yang datang dari arah Jalan Lasi dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika melalui satu selekoh.
“Kenderaan tersebut kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Akibat perlanggaran itu, kedua-dua kenderaan terbabas ke bahu kanan jalan menghala ke Jalan KJD.
Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Poliklinik Julau dengan ambulans, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala polis meminta saksi kejadian atau individu yang mempunyai maklumat termasuk rakaman kamera papan pemuka tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Mohd Zainal Abdul Ghafar di talian 011-11945095.


