Penunjuk perasaan Sudan, tentera kongsi kuasa

KHARTOUM: Penunjuk perasaan Sudan dan jeneral berkuasa menandatangani perjanjian bertujuan membentuk pentadbiran awam, tuntutan utama penunjuk perasaan sejak presiden Omar al-Bashir digulingkan dalam rampasan tiga bulan lalu.

Tindakan itu meredakan kebuntuan yang mencengkam negara itu, berikutan bantahan besar-besaran di seluruh negara yang bermula dengan penentangan terhadap Bashir pada Disember tetapi berlarutan selepas majlis tentera menyingkirkan beliau 11 April.

Pergolakan juga menyebabkan ramai yang mati, dengan lebih 100 terbunuh pada 3 Jun dalam tindakan keras tentera terhadap protes aman.

Timbalan Ketua Majlis Tentera Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo yang menandatangani perjanjian itu bagi pihak jeneral pada Rabu, memberitahu AFP perjanjian itu “detik bersejarah” bagi Sudan.

Ia “membuka era perkongsian baharu dan menjanjikan perkongsian kuasa antara pasukan bersenjata, RSF (Pasukan Sokongan Rapid) dan pemimpin revolusi Sudan,” kata Dagalo di Khartoum selepas menandatangani perjanjian itu.

Dagalo juga mengetuai RSF, organisasi separa tentera yang ditakuti berasal dari militia Janjaweed yang dilancarkan bagi menentang pemberontak Afrika pada awal 2000 di Darfur.

Ibrahim al-Amin pemimpin utama protes, mengesahkan “hari ini, kami menyelesaikan perisytiharan politik.”

Perjanjian itu ditandatangani selepas rundingan tegang berlangsung sepanjang malam berhubung perincian perisytiharan politik di sebuah hotel mewah di tebing Sungai Nil, lapor wartawan AFP. – AFP

TIMBALAN ketua majlis tentera memerintah Sudan, Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo (kanan) dan pemimpin protes Ahmed al-Rabie (kiri) menandatangani perjanjian disaksikan perantara AU dan Ethiopia di Khartoum.

Suara Sarawak