KOTA SAMARAHAN: Seorang penuntut Institut Kemahiran Mara (IKM) maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan lori di Jalan Kota Samarahan-Asajaya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Barry William berkata dalam kejadian yang dilaporkan kira-kira jam 4.30 petang tadi, mangsa berusia 20 tahun disahkan maut di tempat kejadian.
“Hasil siasatan yang dijalankan, kemalangan berlaku ketika lori terbabit yang dipandu lelaki berusia 34 tahun dalam perjalanan dari arah Sebuyau menuju ke Kampung Endap, Kota Samarahan.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, lori itu dilanggar mangsa yang datang dari arah bertentangan dan dipercayai hilang kawalan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat, manakala pemandu lori terbabit tidak mengalami kecederaan.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


