KUCHING: Penetapan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter melalui subsidi bersasar disifatkan sebagai usaha yang mampu memberi kelegaan kepada rakyat berpendapatan rendah dalam menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin mencabar.
Setiausaha Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sarawak, merangkap Pengerusi Cawangan Kuching, Jimmy Ling berkata, inisiatif itu bukan sahaja bertepatan dengan perjuangan mereka untuk membela golongan B40, malah mencerminkan komitmen dalam penyampaian bantuan yang lebih adil dan bersasar.
“Pendekatan tersebut merupakan satu langkah tepat ke arah membantu rakyat, khususnya kumpulan B40 yang paling terkesan dengan kenaikan harga barangan keperluan harian.
“Kami di YPNM Sarawak amat mengalu-alukan pelaksanaan subsidi bersasar ini kerana ia bertepatan dengan usaha kami sebelum ini.
Antaranya melalui pemberian baucar petrol percuma bernilai RM5 kepada penunggang motosikal di bawah program eKasih,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Menurut beliau, pemberian subsidi kepada semua tanpa mengira pendapatan bukan lagi kaedah terbaik pada masa ini.
“Dengan penggunaan MyKad untuk menebus harga petrol RM1.99, kerajaan dapat menyalurkan bantuan secara lebih telus dan bersasar, sekali gus mengelakkan pembaziran kepada golongan yang tidak memerlukannya,” ujarnya.
Pun begitu, YPNM Sarawak turut menyuarakan beberapa kebimbangan dalam pelaksanaan sistem subsidi baharu ini.
“Antara persoalan yang dibangkitkan ialah sejauh manakah rakyat luar bandar akan mendapat manfaat yang sama seperti di bandar.
“Kami juga bimbang kemungkinan wujudnya penyalahgunaan oleh pihak tidak bertanggungjawab, termasuk warga asing,” katanya lagi.
Jimmy menjelaskan bahawa walaupun penjimatan bulanan yang diperoleh mungkin tidak besar, ia tetap membawa makna kepada keluarga berpendapatan rendah.
Tambahnya, apabila harga petrol lebih rendah, ia turut memberi kesan kepada rantaian kos lain termasuk penghantaran dan barangan makanan.
YPNM Sarawak turut menegaskan bahawa realiti hidup rakyat Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar, tidak sama seperti di Semenanjung Malaysia.
“Kebanyakan rakyat B40 di Sarawak bergantung kepada motosikal sebagai pengangkutan utama.
“Namun disebabkan jarak perjalanan yang jauh dan kemudahan pengangkutan awam yang terhad, kos perjalanan mereka tetap tinggi meskipun dengan harga petrol yang lebih murah,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan untuk terus memperhalusi pelaksanaan subsidi tersebut agar ia benar-benar memberi manfaat kepada kumpulan sasar.






