BELUM pun reda sepenuhnya kesan akibat pandemik COVID-19 yang merekodkan 765 juta kes dengan 6.9 juta kematian global, dunia dijangka bakal berdepan pula dengan pandemik penyakit X yang dijangka lebih dahsyat.
Biarpun ciri-ciri penyakit X masih belum dikenal pasti dan waktu berlakunya penyakit ini belum diketahui, pakar kesihatan seluruh dunia mula menyuarakan kebimbangan terhadap impaknya.
Kemungkinan penyakit X yang diramal menjadi pandemik baharu selepas wabak COVID-19 masih menjadi tanda tanya apabila pakar perubatan memberitahu penyakit itu masih belum wujud atau tersebar.
Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi peringatan kepada negara dunia bahawa akan ada wabak yang menjadi lebih teruk dan sedang ‘dalam perjalanan’.
Penyakit X merupakan nama yang dicipta WHO pada 2018 untuk sejenis patogen yang tidak diketahui, dengan potensi untuk menyebabkan wabak pandemik serius di seluruh dunia.
Menurut laporan portal kesihatan rajneetpg2022.com, punca penyakit X masih belum diketahui, namun terdapat enam jenis virus memiliki ciri yang boleh menjangkiti manusia dan seterusnya menjadi sumber berlakunya pandemik, iaitu Adenoviridae, Coronaviridae, Orthomyxoviridae, Paramyxoviridae, Picornaviridae dan Poxviridae.
Lebih menakutkan, penyakit itu dikatakan mungkin lebih dahsyat daripada COVID-19 dan mungkin mempunyai kesan sama seperti Selesema Sepanyol yang melanda dunia pada tahun 1918 hingga 1920.
Pandemik itu direkodkan paling dahsyat dalam sejarah apabila menjangkiti 500 juta orang di seluruh dunia, iaitu sekitar satu pertiga penduduk bumi ketika itu, dengan 20 hingga 50 juta kematian.
Potensi pandemik baharu ini pula dijangka mempunyai kapasiti untuk mengakibatkan kematian 20 kali ganda lebih ramai berbanding COVID-19 yang bermula pada tahun 2020.
Menurut pakar kesihatan Dame Kate Bingham, yang mempengerusikan pasukan petugas vaksin UK, penyakit X mungkin mempunyai kapasiti untuk mengakibatkan kira-kira 50 juta kematian.
Bingham berkata, seluruh dunia perlu bersedia untuk memacu program vaksinasi secara besar-besaran dan menyediakan dos dalam waktu yang singkat.
Ujarnya, bagi mengurangkan kesan akibat penyakit X kelak, pegawai dan pembuat dasar perlu memberi tumpuan untuk menghalang pandemik baharu.
Penyelidikan dan pembiayaan bioperubatan perlu diteruskan supaya dunia mampu mendepani ancaman kesihatan baharu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan memberitahu, penularan penyakit X boleh berasal daripada pelbagai sumber termasuk secara zoonotik iaitu jangkitan daripada haiwan kepada manusia.
Malah katanya, penyakit X dijangka mudah tersebar seperti campak dan mungkin mengancam nyawa seperti Ebola dengan kadar penyebaran akan semakin meningkat seiring dengan peningkatan kontak manusia dan haiwan ditambah dengan pergerakan manusia merentas negara yang semakin mudah sekarang.
Sehubungan itu ujarnya, Malaysia harus mempunyai tahap kesiapsiagaan yang tinggi untuk menghadapi kemunculan penyakit X di negara ini dengan merangka pelan pandemik yang komprehensif, perluasan kempen vaksinasi dan penyediaan peruntukan khas sebagai pemantapan kesiapsiagaan bagi menghadapi penyakit yang belum diketahui itu.
Begitu juga dengan pemantauan berterusan, tindakan proaktif, penggunaan antibiotik yang rasional, langkahlangkah kawalan dan kerjasama antarabangsa.
Selain itu, pendekatan “Satu Kesihatan” yang menekankan hubungan antara manusia, haiwan dengan kesihatan alam sekitar adalah komponen penting untuk mengeratkan kerjasama pelbagai disiplin.
Penjagaan kesihatan individu dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti senaman, menguruskan badan dan mengelakkan faktor risiko seperti merokok juga penting untuk memantapkan kesiapsiagaan terhadap penyakit X.



