Penyamun bersenjata tumpas

MIRI: Sekumpulan penyamun bersenjata membabitkan 11 kes samun kedai runcit dan serbaneka 24 jam di sini berjaya ditumpaskan berikutan penahanan tiga lelaki tempatan di tiga lokasi berasingan pada 14 Jun lalu.

Kumpulan tersebut terdiri daripada tiga suspek berusia 25 hingga 37 tahun disyaki terbabit dalam kes samun berkumpulan menggunakan senjata, curi dan khianat di sekitar bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, suspek pertama berusia 31 tahun ditahan di Tudan jam 3.20 petang diikuti suspek kedua berusia 37 tahun di tepi Jalan Dato Permaisuri pada jam 4 petang.

Meng Seah berkata, suspek ketiga berusia 25 tahun ditahan di sebuah rumah di Jalan Maigold Golden Royal Villa Senadin pada jam 5.10 petang.

“Ketiga-tiga suspek dipercayai terbabit dengan kes samun ber senjata di empat kedai serbaneka di Luak, Krokop dan Senadin.

“Kumpulan sama terbabit dengan kes samun kedai runcit di pasar raya Emart pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambah Meng Seah, barangan yang dirampas daripada ketiga-tiga suspek termasuk sebilah parang sepanjang 42 sentimeter, topi keledar, jaket dan peralatan lain yang digunakan ketika melakukan jenayah.

“Sebuah motosikal dan kenderaan dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah itu turut dirampas. Semua suspek masih ditahan polis untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Suara Sarawak