ARTIKEL

Penyokong dahagakan trofi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SUDAH agak lama peminat bola sepak negara menyaksikan Harimau Malaya tidak memenangi trofi selepas menjulang Piala AFF pada 2010.

Tempoh 13 tahun menyaksikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berusaha membawa perubahan dalam arena bola sepak negara.

Dengan membawa masuk jurulatih kelahiran Korea Selatan, Kim Pan Gon — perjalanan skuad kebangsaan nampak lebih positif.

Ia terbukti dengan peningkatan ranking Harimau Malaysia yang kini berada pada kedudukan ke134 dunia, ketiga terbaik di Asia Tenggara selepas Vietnam dan Thailand.

Sabtu lepas, Harimau Malaya berjaya membaham India 4-2 dalam saingan Pestabola Merdeka 2023 yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil.

Kemenangan itu membawa skuad kendalian Pan Gon melayakkan diri ke final untuk bertemu Tajikistan hari ini.

Sudah pasti penyokong skuad kebangsaan mahu anak buah Pan Gon menghadiahkan trofi juara.

Ia bukan perkara mustahil untuk skuad negara muncul juara berdasarkan corak permainan diterapkan Pan Gon, sekali gus mengakhir kemarau trofi.

Jika disebut Pestabola Merdeka, tentunya tidak ramai dalam kalangan peminat bola sepak era baharu mengenali kejohanan jemputan bola sepak tertua dan berprestij di Asia ini.

Kejohanan ini menarik minat pasukan kebangsaan dan kelab dari seluruh dunia untuk menyertai serta bersaing bagi merebut kejuaraan.

Pasukan gergasi Asia, Jepun dan Korea Selatan serta beberapa kelab terkemuka dunia seperti Hamburg SV dari Jerman dan Sao Paolo dari Brazil turut menghantar penyertaan mereka bagi menyertai kejohanan ini.

Pendek kata, dahulunya prestij kejohanan ini setanding dengan kejohanan jemputan bola sepak popular Asia yang lain seperti Piala Raja Thai dan Piala Kirin.

Pestabola Merdeka merupakan cetusan idea Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj yang pada ketika itu memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Kejohanan ini diadakan untuk meraikan sambutan kemderdekaan Persekutuan Tanah Melayu iaitu pada tahun 1957.

Stadium Merdeka menjadi gelanggang kejohanan yang julung kali diadakan itu selama seminggu.

Sebanyak lapan pasukan menyertai kejohanan ini pada edisi pertama iaitu Malaysia, Hong Kong League XI, Kemboja, Singapura, Indonesia, Myanmar, Thailand dan Vietnam.

Malaysia diketuai Datuk Ghani Minhat pada ketika itu gagal memenangi kejohanan edisi pertama dengan Hong Kong League XI merangkul kejuaraan.

Pestabola Merdeka terus dilangsungkan setiap tahun sehingga 1988.

Kemudian kejohanan ini dilangsungkan semula pada 1991 selepas dua tahun terhenti.

Selepas tahun 1991, kejohanan ini tetap dilangsungkan, namun tidak lagi secara tahun seperti sebelum 1988.

Ada beberapa kali kejohanan ini tidak dilangsungkan atas beberapa faktor seperti kewangan, masa dan prestasi semasa skuad kebangsaan yang semakin merosot selepas isu skandal rasuah yang melanda bola sepak negara sekitar tahun 90-an.

Kali terakhir kejohanan ini diadakan pada tahun 2013 di Stadium Darul Makmur dengan empat pasukan menyertai kejohanan merangkumi Malaysia, Myanmar dan Singapura menghantar pasukan bawah 23 tahun sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA ke-27 di Myanmar.

Hanya Thailand yang menghantar pasukan campuran bagi menghadapi kejohanan tersebut.

Pasukan bawah 23 tahun Malaysia berjaya memenangi kejohanan selepas menyewaskan Myanmar 2-0.

Sepanjang Pestabola Merdeka, Malaysia berjaya memenangi 10 kejuaraan diikuti Korea Selatan dengan tujuh kejuaraan.

Kedua-dua pasukan ini pernah dinobatkan sebagai juara bersama pada edisi 1960.

Selain stadium keramat, Stadium Merdeka dan Stadium Darul Makmur, stadium lain seperti Stadium Nasional Bukit Jalil, Stadium Shah Alam dan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pernah menjadi gelanggang bagi kejohanan tersebut.

Pestabola Merdeka memasuki edisi ke-42 pada tahun 2023. Selepas 10 tahun tidak dianjurkan, kejohanan ini kembali dan diadakan pada 13 hingga 17 Oktober.

Sudah pasti anak buah Pan Gon mengambil kesempatan daripada kejohanan ini sebagai medan persiapan menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang bakal bermula November tahun ini.

Ia juga pentas terbaik untuk merpersiapkan pasukan bagi menghadapi Piala Asia 2024 yang akan dilangsungkan di Qatar pada Januari tahun depan.

Pestabola Merdeka menjadi medan melahirakan nama besar seperti Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Azman Adnan dan Safee Sali.

Mereka merupakan antara legenda bola sepak negara yang banyak memberikan sumbangan kepada kegemilangan bola sepak Malaysia.

Pasukan Malaysia pernah menjadi saingan terkuat Korea Selatan dalam kejohanan ini sebelum perlahan-lahan pasukan dengan gelaran ‘Pahlawan Taegeuk’ itu jauh meninggalkan pasukan negara.

Diharapkan Pestabola Merdeka akan terus dianjurkan pada tahun akan datang sebagai meden pasukan Malaysia untuk terus mengasah taring.

Skuad kebangsaan ketika ini berada pada kedudukan semakin baik dalam ranking FIFA dan diharapkan FAM perlu terus merangka perancangan jangka pendek dan panjang.

Kita tidak boleh lagi bangga dengan sejarah skuad kebangsaan dahulu sebaliknya perlu melakar sejarah baharu dalam bola sepak.

Tidak mustahil kita mampu menjadi pasukan terkuat di Asia Tenggara sekali gus mampu menyaingi raja bola sepak Asia seperti Korea Selatan, Jepun dan Arab Saudi.

BERITA LAIN

Menyelamat ingatan, menjejak ilmu dan sejarah

SEJARAH bukan sekadar kisah masa lalu. Ia adalah bukti tentang siapa kita, bagaimana keputusan dibuat dan mengapa sesuatu peristiwa berlaku. Namun, sejarah boleh hilang apabila

Dapur rumah di awan biru

PETANG Ahad, saya terbang ke Kuala Lumpur dari Kuching menggunakan pesawat milik kita rakyat Sarawak — AirBorneo. Selama ini, saya banyak menyunting pengalaman rakyat Sarawak

BERITA TERBARU