KUCHING: Penyusunan semula kabinet memberi peluang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyusun dan memperkukuh kelompok dalamannya, kata penganalisis politik Dr Ammar Redza Ahmad Rizal.
Beliau berkata, ini masanya untuk beliau membawa tokoh dalam kelompoknya seperti Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ke pentas utama.
“Ia membolehkan beliau melaksanakan dasar dan reformasi yang ada dalam fikirannya tanpa halangan seperti yang mungkin dihadapi semasa Rafizi dalam kabinet,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Bagaimanapun jelas Dr Ammar, tindakan tersebut (penyusunan semula kabinet) turut membawa risiko.
“Beliau sedang bermain ‘Russian Roulette’. Sebelum ini, Rafizi boleh bertindak sebagai semak dan imbang untuk pastikan dasar yang dilaksanakan beri impak lebih besar.
“Tapi sekarang tanpa beliau (Rafizi), Anwar mungkin alami situasi ‘echo chamber’… apa-apa sahaja yang dikatakan hanya akan disambut oleh penyokong tegar,” katanya lagi.
Dr Ammar juga menyentuh isu persepsi awam terhadap PKR — data pilihan raya menunjukkan PKR hanya boleh menang di kerusi campuran.
“Mereka tiada pengundi Melayu, dan pengundi Cina pula hanya menyokong kerana tidak mempercayai gabungan lain.
“Masalah utama PKR bukan sekadar kekurangan sokongan, tetapi peranan mereka sebagai penghubung antara parti.
“Masalah mereka bukan sokongan, sebab mereka hanya ada sokongan minoriti. Masalahnya ialah mengekalkan imej dan kemampuan sebagai ‘king maker’ yang menghubungkan parti dan gabungan seperti UMNO, GPS dan DAP. Sebab itu mereka akan pastikan kawalan ke atas kementerian penting seperti KDN, Kementerian Pendidikan, dan Kementerian Ekonomi,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, Dr Ammar turut menjangkakan kemunculan beberapa tokoh dalam kabinet.
“Seperti saya sebut, saya percaya kita mungkin akan lihat Naib Pengerusi PKR, Nurul Izzah Anwar masuk. Amirudin juga akan masuk. Cuma saya tak pasti Nurul Izzah akan diletakkan di mana.
“Mungkin di Jabatan Perdana Menteri, atau sebagai timbalan menteri dahulu. Tapi watak seperti Nurul Izzah tak sesuai jadi timbalan. Beliau akan membayangi menteri, dan itu tidak baik,” katanya lagi.



