ARTIKEL

Peperiksaan medan bina diri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TEPAT jam 3.30 petang ini, mata seluruh negara akan tertumpu ke Dewan Rakyat apabila Belanjawan 2027 dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi penganalisis ekonomi, belanjawan ialah dokumen berkaitan angka iaitu defisit, hasil dan peruntukan.

Pakar ekonomi sebelum ini ada menyatakan pertumbuhan ekonomi perlu dikekalkan melebihi kos pembiayaan hutang kerajaan.

Pada pandangan mereka, jika ini tercapai, kerajaan masih ada ruang untuk mengurus kewangan dan belanjawan dengan lebih baik kerana pertumbuhan membantu meningkatkan hasil.

Pertumbuhan pula perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik supaya manfaatnya dirasai isi rumah.

Ada juga yang mencadangkan kadar gaji minimum dinilai semula untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan mahu kerajaan memberi penyelesaian yang jelas kepada isu kos sara hidup.

Ada juga yang menekankan perlindungan sosial, pendidikan, kesihatan, produktiviti dan keterjaminan makanan.

Keduaduanya menekankan pendapatan dan pekerjaan berkualiti, selain berpandangan belanjawan perlu berhemat dari segi fiskal tetapi masih menyokong pertumbuhan.

Bagi rakyat biasa pula, soalannya jauh lebih ringkas.

Apakah manfaat langsung yang akan diterima tanpa mengira kategori pendapatan?

Itulah harapan paling asas dan paling jujur.

Rakyat tidak menuntut keajaiban.

Rakyat hanya mahu belanjawan yang terasa di dapur, stesen minyak, kaunter pasar raya dan dalam akaun bank gaji.

Kos sara hidup tetap isu nombor satu.

Harga barang keperluan naik perlahan-lahan tetapi tidak turun.

Kerajaan sendiri mengakui Malaysia tidak terkecuali daripada tempias krisis tenaga dan tekanan kos sara hidup akibat konflik di Asia Barat.

Pun begitu, rakyat mengharapkan pengakuan itu disusuli tindakan konkrit, iaitu kawalan harga yang benarbenar dikuatkuasakan, kos pengangkutan dan logistik yang terkawal, serta perlindungan kepada keluarga yang paling mudah terjejas apabila harga tenaga bergolak.

Dari segi bantuan, kita sudah mendengar Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah akan terus diperkukuh.

Ramai menyambutnya dengan perasaan lega.

Namun harapan rakyat tidak berhenti pada jumlah.

Rakyat mahu bantuan yang sampai tepat pada masanya, dengan proses yang mudah dan tanpa kerenah birokrasi.

Ibu tunggal, warga emas dan pekerja kampung yang kurang mahir teknologi tidak sepatutnya tercicir hanya kerana sistem terlalu rumit.

Golongan M40 pula sering terasa seperti dilupakan.

Terlalu “berkemampuan” untuk menerima bantuan, tetapi tersepit untuk hidup selesa.

Kali ini, kerajaan diharapkan memberi tumpuan khusus kepada kebajikan M40 serta kumpulan kurang berkemampuan.

Rakyat berharap tumpuan itu menjelma sebagai pelepasan cukai yang bermakna, sokongan perumahan mampu milik dan kos pendidikan serta penjagaan kesihatan yang tidak mengikis simpanan keluarga.

Peruntukan bukan kecil.

Soalnya, adakah angka sebesar itu diterjemah kepada yuran yang lebih ringan dan giliran rawatan yang lebih singkat?

Soal pendapatan sama penting dengan soal harga.

Pada 2026, kadar pengangguran dijangka kekal 3.0 peratus dengan guna tenaga meningkat 2.3 peratus kepada 17.2 juta orang. Angka ini baik, tetapi ia tidak menceritakan kualiti pekerjaan dan nilai gaji.

Anak muda, terutamanya siswazah baharu, mahukan pekerjaan berkualiti dengan gaji yang setimpal.

Pekerja gig seperti penghantar makanan dan  pemandu e-panggilan pula mahu perlindungan sosial yang jelas

. Lebih daripada sekadar sumbangan sekali-sekala, mereka mahu jalan untuk naik, melalui latihan kemahiran yang relevan dengan pasaran dan insentif kepada majikan yang menaikkan gaji pekerja.

Peniaga kecil dan sederhana menyimpan harapan yang tersendiri.

Mereka tulang belakang ekonomi tetapi paling lemah apabila kos bahan mentah, sewa dan tenaga meningkat serentak.

Kenyataan prabelanjawan menyebut tumpuan kepada pembiayaan peringkat pertumbuhan bagi syarikat pemula dan pertengahan, serta PKS inovatif.

Pasti pengusaha kecil berharap kemudahan itu tidak hanya bermanfaat untuk yang sudah besar dan berhubungan baik.

Pembiayaan mudah akses, kadar berpatutan dan bimbingan digital untuk penjaja dan perusahaan mikro akan memberi kesan lebih luas.

Di luar bandar, harapannya lebih asas lagi.

Jalan tidak berlubang, air bersih yang mengalir setiap hari, bekalan elektrik dan capaian Internet yang stabil, klinik yang mempunyai doktor dan ubat serta sekolah yang bangunannya selamat.

Bagi rakyat di Sabah, Sarawak dan pedalaman Semenanjung, jurang pembangunan ialah realiti harian, bukan sekadar statistik.

Belanjawan 2026 mencatat peruntukan pembangunan Persekutuan tertinggi dalam sejarah untuk kedua-dua negeri, iaitu RM6.9 bilion untuk Sabah dan RM6 bilion untuk Sarawak.

Jadi, belanjawan yang adil ialah belanjawan yang peruntukannya sampai ke hujung jalan, bukan berhenti di meja perancangan.

Akhir sekali, rakyat mahu tadbir urus yang bersih.

Setiap ringgit dalam belanjawan ialah wang cukai mereka.

Rakyat mahu projek yang siap tepat masa, kontrak yang telus dan ketirisan yang ditutup. Jadi, langkah kerajaan membuka Portal Cadangan Belanjawan 2027 untuk menerima pandangan rakyat wajar dihargai.

Namun penyertaan hanya bermakna jika suara yang didengar benar-benar kelihatan dalam keputusan.

Perdana Menteri sendiri berkata, kemajuan negara tidak hanya harus terlihat pada angka, tetapi benar-benar dirasai rakyat. Kata-kata itu betul dan itulah ukuran yang akan digunakan rakyat.

Rakyat tidak akan menilai belanjawan pada hari pembentangan kerana tepukan dan slogan mudah dilupakan.

Penilaian sebenar datang beberapa bulan kemudian, ketika baki dalam akaun bank dan harga di pasar memberitahu sama ada janji itu sampai atau tidak.

Diharapkan Belanjawan 2027 menjadi belanjawan yang dirasai setiap rakyat semua kategori pendapatan, bukan sekadar  dibaca.

BERITA LAIN

Bina impian anak Sarawak

SETIAP kali Belanjawan Sarawak dibentangkan, perhatian masyarakat lazımnya tertumpu pada angka peruntukan, projek pembangunan dan pelan ekonomi negeri. Namun, ukuran sebenar kejayaan sesebuah belanjawan bukan

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

BERITA TERBARU