ARTIKEL

DATUK PATINGGI ABANG JOHARI TUN OPENG. Foto: UKAS

Peralihan Kluster Perindustrian Bintulu pertama di Malaysia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SINGAPURA: Peralihan Kluster Perindustrian (TIC) Bintulu yang bakal dilancarkan bulan hadapan membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak dalam menyokong transformasi industri rendah karbon.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama World Economic Forum (WEF) itu bukan sekadar usaha menyahkarbonkan sebuah kilang atau fasiliti secara berasingan, sebaliknya melibatkan pendekatan strategik untuk mentransformasikan keseluruhan sistem industri ke arah masa depan rendah karbon.

Menurut beliau, Koridor Bintulu-Samalaju kini menempatkan pelbagai industri utama termasuk gas, gas asli cecair (LNG), petrokimia, hidrogen, baja dan tenaga boleh diperbaharui.

“Sehubungan itu, TIC menyelaraskan semua sektor ini di bawah satu visi industri rendah karbon yang merangkumi pengeluaran hidrogen, penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), ekonomi kitaran serta pembuatan digital yang beroperasi sebagai satu sistem bersepadu.

“Pendekatan ini dapat mengurangkan risiko dan mempercepatkan pelaksanaan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Sarawak dan Wilayah: Ekonomi Hijau yang Dibina Dalam Masa Nyata sempena Asian Philanthropy Summit 2026 di Marina Bay Sands, hari ini.

Beliau berkata kerjasama antara Kerajaan Sarawak dan WEF bagi projek TIC Bintulu amat signifikan kerana ia menghimpunkan rangkaian pakar global untuk memindahkan pengetahuan serta membuka peluang kerjasama baharu.

“Ini memastikan kluster tersebut dibangunkan berasaskan piawaian dunia dari segi kelestarian dan tadbir urus.

“Pada masa sama, ia meningkatkan keyakinan pelabur, mengurangkan risiko pelaburan dan mempercepatkan kemajuan. Ia juga memberi isyarat bahawa Sarawak bukan sekadar mengadaptasi amalan terbaik, malah turut menciptanya bersama,” ujarnya.

Terdahulu, pemilihan Bintulu sebagai TIC pertama Malaysia oleh WEF diumumkan Abang Johari ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Hidrogen Asia Sedunia di Tokyo tahun lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata Sarawak berjaya mengurangkan intensiti pelepasan grid elektrik sebanyak 73 peratus dari 2010 hingga 2022 menerusi peralihan terancang kepada tenaga hidro boleh diperbaharui.

Katanya, Sarawak juga telah melepasi sasaran 60 peratus tenaga boleh diperbaharui dalam kapasiti terpasang menjelang 2030.

“Projek Hidroelektrik Baleh berkapasiti 1,285 megawatt dijangka mula beroperasi menjelang 2030. Kami kini meningkatkan kapasiti penjanaan kepada 10 gigawatt menjelang 2030 dan 15 gigawatt menjelang 2035,” katanya.

Beliau turut menegaskan Sarawak sedang melaksanakan transformasi ekonomi yang lebih menyeluruh melangkaui sektor tenaga dengan mengembangkan ekonomi negeri sambil mengurangkan pelepasan karbon secara berperingkat.

Menurutnya, Sarawak kini muncul sebagai negeri “net-negative” dengan memanfaatkan kawasan hutan dan tanah untuk menyerap lebih banyak karbon berbanding jumlah yang dilepaskan oleh ekonomi negeri.

“Cabaran utama bukan sekadar mencapai sifar bersih (net zero), tetapi mengekalkan status ‘net-negative’ ketika ekonomi terus berkembang dan berindustri.

“Sebab itu Strategi Sifar Bersih dan Pelan Karbon Sarawak memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi rendah karbon yang mampu mewujudkan industri baharu, menjana pekerjaan berkualiti, memperkukuh daya saing ekonomi dan menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang,” katanya lagi.

BERITA LAIN

Geran pemula bantu usahawan muda Sarawak

KUCHING: Usahawan belia di Sarawak berpeluang memohon geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu menampung kos permulaan dan pembangunan perniagaan masing-masing. Timbalan Menteri Belia,

BERITA TERBARU

Empat maut padam kebakaran hutan Bromo

JAKARTA: Empat orang maut manakala dua lagi melecur teruk selepas terperangkap dalam asap tebal dan api yang merebak dengan pantas ketika berusaha memadamkan kebakaran hutan

Tubi Mbos khazanah kulinari Bidayuh

TUBI mbos merupakan warisan kulinari masyarakat Bidayuh Biatah di Kampung Pain Bojong yang lahir daripada kearifan tempatan sebagai bekalan makanan mesra alam untuk penduduk ke