KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan terus berunding dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai peranan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebagai pengagregat gas tunggal di negeri ini.
Beliau menegaskan ia kerana kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menerima peranan Petros dalam pengagihan gas (bukan LNG) di Sarawak adalah kurang tepat.
“Mungkin kurang tepat (kenyataan Azalina). Saya nampak kurang tepat… Biarlah saya terus berunding dengan Perdana Menteri,” katanya ketika ditemu bual selepas menyempurnakan penangguhan Perhimpunan Agung ke-16 PBB di BCCK, sebentar tadi.
Terdahulu dalam ucapan penggulungannya, Abang Johari menegaskan Sarawak mempunyai hak penuh ke atas sumber gasnya berdasarkan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau menegaskan bahawa sebarang aktiviti penggalian minyak dan gas di Sarawak perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri terlebih dahulu.
“Sebelum awak korek (minyak dan gas), awak mesti ada sijil daripada negeri. Ini Perlembagaan. PDA (Akta Pembangunan Petroleum) itu adalah subordinat kepada Perlembagaan. Perlembagaan adalah tertinggi. Sebab itu saya tetap dengan apa-apa yang disebut dalam Perlembagaan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa hak ke atas tanah, termasuk pelantar benua, adalah di bawah kuasa Sarawak seperti yang termaktub dalam undang-undang.
Justeru kata Abang Johari sebarang aktiviti berkaitan sumber asli di perairan negeri perlu mendapat persetujuan kerajaan negeri terlebih dahulu.
Abang Johari juga menegaskan bahawa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan terus memperjuangkan hak Sarawak dalam MA63 dan memastikan kepentingan negeri dipertahankan dalam perbincangan dengan kerajaan Persekutuan.






