KUCHING: Peranan rakyat dalam memastikan kelestarian sumber air dan tenaga amat penting, khususnya melalui amalan penggunaan berhemah serta pemeliharaan alam sekitar.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, kesedaran serta tindakan masyarakat menjadi faktor utama dalam memastikan keterjaminan bekalan kedua-dua sumber tersebut.
“Sekiranya kita dapat menjimatkan penggunaan air dan tenaga, ia bukan sahaja dapat mengurangkan kos yang perlu ditanggung, malah membantu memelihara sumber negara serta kelestarian alam sekitar,” katanya ketika berucap pada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Masjid Al-Abyad, Taman Matang Jaya, sempena Program PETRA Skuad Zon Sarawak 2026 di sini, malam tadi.
Menurut Fadillah, hubungan air dan tenaga tidak boleh dipisahkan kerana kedua-duanya saling bergantung dalam memastikan sistem bekalan negara terus berfungsi dengan baik.
“Sekiranya tiada bekalan air, maka tiadalah tenaga. Hal ini kerana setiap sistem tenaga memerlukan penyejukan dan air merupakan elemen utama dalam proses tersebut. Tanpa air, sistem tenaga tidak dapat berfungsi dan tanpa tenaga pula, bekalan air juga tidak dapat dirawat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan menjaga kebersihan sumber air termasuk sungai agar tidak tercemar, selain menggalakkan penggunaan secara berhemah dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, keterjaminan bekalan tenaga khususnya tenaga boleh diperbaharui juga memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan dan merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
“Apabila bekalan tenaga terjamin, ia akan meningkatkan keyakinan pelabur untuk datang ke negara ini. Seterusnya, perkembangan ekonomi dapat dipacu dan kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, antara sumbangan yang disalurkan kepada Masjid Al-Abyad termasuk peruntukan RM10,000 menerusi inisiatif CSR Wakalah oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai usaha memperkasa institusi masjid dan komuniti setempat.
Selain itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) turut menyumbangkan 40 unit pili cekap air bernilai RM1,600 bagi menggalakkan penggunaan air secara lebih efisien dan lestari dalam kalangan jemaah.
Terdahulu, Masjid Darul Malihah Kampung Bukit Berangan di Kota Samarahan turut menerima sumbangan CSR yang sama melibatkan peruntukan RM10,000 serta 30 unit pili cekap air sebagai sebahagian daripada inisiatif memperluas amalan penggunaan sumber secara berhemah di rumah ibadat.–TVS


