ARTIKEL

Duta Besar Perancis ke Malaysia, Marc Abensour (kiri) semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, Kuching, hari ini. - Gambar RAMIDI SUBARI

Perancis iktiraf visi Sarawak sebagai hab teknologi bersih

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai hab serantau bagi peralihan tenaga dan teknologi bersih terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Perancis menyatakan komitmen untuk menyokong pembangunan sektor tersebut, termasuk melalui penglibatan syarikat utamanya dalam projek strategik di negeri ini.

Duta Besar Perancis ke Malaysia Marc Abensour berkata Perancis melihat visi pembangunan yang digariskan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai satu agenda yang jelas dan berpotensi besar untuk menjadikan Sarawak peneraju ekonomi hijau di rantau ini.

Justeru, katanya perkara itu menjadi antara fokus utama perbincangan ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Abang Johari di Kompleks Satria Pertiwi di sini, hari ini.

“Kami benar-benar memahami visi strategik yang digariskan oleh Premier untuk memanfaatkan sumber semula jadi tempatan bagi menjadikan Sarawak sebagai hab peralihan tenaga dan juga hab teknologi bersih.

“Ia merupakan satu visi yang bercita-cita tinggi dan kami mahu menyokongnya secara proaktif,” katanya pada sidang media selepas pertemuan itu.

Menurut Abensour, beberapa syarikat utama Perancis kini telah bertapak di Sarawak, manakala sebahagian lagi sedang menilai peluang untuk memperluaskan pelaburan mereka.

Beliau berkata TotalEnergies kini merupakan antara pelabur penting di Sarawak, manakala EDF (Electricité de France) turut menunjukkan minat terhadap pembangunan projek empangan melata bagi meningkatkan potensi tenaga hidro negeri ini.

Selain itu, katanya Air Liquide sedang melaksanakan projek biometanol di Sarawak dan berminat menyokong pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF) pada masa depan.

“Jadi, anda boleh melihat bahawa kami sudah mempunyai beberapa pemain utama yang berada di Sarawak atau berhasrat meningkatkan lagi kehadiran mereka di negeri ini,” katanya.

Tambah beliau, perbincangan bersama Premier turut meliputi bidang tenaga boleh diperbaharui, aeronautik, hubungan udara, semikonduktor, bahan mentah kritikal serta teknologi termaju.

Pada masa sama, Abensour berkata Abang Johari turut berkongsi pelan hala tuju pembangunan Sarawak dalam industri semikonduktor dan teknologi bernilai tinggi yang membuka lebih banyak ruang kerjasama antara kedua-dua pihak.

“Kami mempunyai agenda kerjasama yang luas dan bercita-cita tinggi. Setiap kali saya datang ke Sarawak, saya melihat negeri ini mempunyai begitu banyak kelebihan.

“Kini menjadi tanggungjawab kami untuk menggembleng semua potensi tersebut supaya setiap kerjasama yang telah dibincangkan dapat direalisasikan, di samping memperkukuh kerjasama sedia ada,” katanya.

Abensour berkata, beliau akan kembali ke Kuching pada penghujung September ini bagi menghadiri edisi kedua Forum Franco-Australian Centre for Energy Transition (FACET), yang menghimpunkan Universiti Swinburne Kampus Sarawak dan Suruhanjaya Tenaga Atom Perancis (CEA) bagi memperkukuh kerjasama penyelidikan dalam bidang peralihan tenaga.

“Ia akan menjadi peluang untuk saya kembali ke Sarawak dan meneruskan agenda bersama antara Perancis dan Sarawak,” katanya.

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

Ultras Bluewave bawa sorakan Hong Kong ke Kuching

KUCHING: Demi menyokong pasukan kesayangan, kira-kira 40 penyokong tegar Kitchee SC sanggup merentas lautan dari Hong Kong ke Kuching bagi menyaksikan aksi Liga Juara-Juara Asia

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan