PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron menjadi tuan rumah persidangan bantuan kemanusiaan untuk Gaza, walaupun Israel yang mengebom wilayah itu sejak serangan 7 Oktober oleh Hamas, tidak akan hadir.
“Semua kerajaan bagaimanapun mempunyai kepentingan dalam meningkatkan bantuan kemanusiaan untuk Gaza, termasuk Israel,” kata seorang pembantu Macron kepada pemberita dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan menjelang perhimpunan itu.
Penjuang Hamas menyerbu sempadan dari Gaza ke Israel pada 7 Oktober, membunuh lebih 1,400 orang, kebanyakannya orang awam, dan menjadikan lebih 240 tebusan, kata pegawai Israel.
Menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas di Gaza, kempen tentera Israel membalas dendam dengan membunuh lebih 10,500 orang, kebanyakannya kanak-kanak.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, tidak akan ada bahan api dihantar ke Gaza dan tiada gencatan senjata dengan Hamas melainkan tebusan dibebaskan.
Macron bercakap dengan Netanyahu pada Selasa dan mereka akan bercakap sekali lagi sebaik persidangan bantuan pada Khamis selesai, kata Istana Elysee.
Rundingan sedang dijalankan untuk membebaskan tebusan yang ditahan oleh Hamas, termasuk enam warga Amerika, sebagai balasan kepada gencatan senjata selama tiga hari di Semenanjung Gaza, kata sumber yang rapat dengan Hamas kepada AFP pada Rabu.
Sumber lain berkata, Qatar sedang menjadi pengantara rundingan dalam penyelarasan dengan AS untuk membebaskan 10 hingga 15 tebusan sebagai pertukaran untuk gencatan senjata satu hingga dua hari.
Qatar, seperti Mesir memainkan peranan penting dalam percubaan untuk membawa lebih banyak bantuan ke Semenanjung Gaza.






