ARTIKEL

Pesuruhjaya Polis Datuk Mancha Ata

Perangkap tersembunyi sasar generasi muda

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ROKOK elektronik atau vape, alat yang pada pandangan ramai hanya sekadar gaya atau hiburan, sebenarnya berpotensi menjadi medium penyebaran dadah dalam kalangan generasi muda.

Walaupun setakat ini tiada kes melibatkan pelajar sekolah dilaporkan di Sarawak, statistik terkini PDRM Sarawak menunjukkan wujudnya rampasan vape yang mengandungi bahan terlarang dalam kalangan golongan dewasa, yang boleh menjadi peringatan awal akan risiko yang menghampiri.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata, data dari 1 Januari 2023 sehingga 30 Julai 2025 mencatatkan 14 kes melibatkan 20 individu berumur antara 17 hingga 31 tahun.

“Pada 2023, empat kes melibatkan lima individu berumur 24 hingga 29 tahun dengan rampasan termasuk 0.3 ml methamphetamine, 27.8 ml nikotin dan 28.1 ml ADB– Butinaca (dadah sintetik).

“Tahun 2024 menyaksikan tiga kes membabitkan tujuh individu berumur 17 hingga 27 tahun dengan rampasan 4 ml MDMB-4ENPINACA (dadah sintetik), manakala pada 2025, tujuh kes membabitkan lapan individu berumur 19 hingga 31 tahun dengan rampasan 1,063.55 ml jumlah dadah dan racun.

“Statistik ini menjadi peringatan bahawa bahaya wujud, meskipun belum menular dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya kepada Suara Sarawak. Namun kata Mancha, PDRM tidak memandang ringan perkara ini.

Mereka bekerjasama rapat dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia dan agensi lain bagi memastikan ancaman ini dapat dikawal.

“Pihak sekolah dan masyarakat digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan penggunaan vape yang disyaki mengandungi bahan terlarang untuk tindakan segera, termasuk analisis makmal di Jabatan Kimia Malaysia, Sarawak.

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM Sarawak tidak menemui sebarang kes pengedaran dadah melalui vape yang menyasarkan pelajar atau remaja

“Namun mereka sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan tren baharu ini memasuki negeri.

Kebanyakan vape bercampur bahan terlarang diperoleh melalui platform jualan dalam talian dan media sosial, yang diselindungi sindiket bagi mengaburi pihak berkuasa,” ujarnya.

FENOMENA vape bercampur dadah sintetik kini menjadi cabaran serius pihak berkuasa.

Kuat kuasa undang-undang seiring perubahan

Sehubungan itu, Mancha berpandangan undang-undang sedia ada pada asasnya sudah memadai untuk mendakwa individu yang menyalahgunakan produk vape sebagai medium pengedaran dadah, termasuk kepada pelajar bawah umur.

Namun, ia perlu diteliti dan dikaji dari semasa ke semasa agar seiring dengan perubahan serta perkembangan bentuk jenayah baharu.

Ketika ini, pendakwaan boleh dibuat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952) yang memperuntukkan hukuman berat, termasuk penjara seumur hidup atau hukuman mati di bawah Seksyen 39B, katanya.

“Produk vape yang mengandungi bahan terlarang seperti MDMA, THC atau synthetic cannabinoids turut tertakluk secara langsung di bawah akta ini.

Selain itu, Akta Racun 1952 terpakai bagi mengawal bahan kimia tertentu dalam cecair vape, termasuk nikotin, manakala Akta Kanak-Kanak 2001 membolehkan pertuduhan tambahan dikenakan sekiranya pengedaran disasarkan kepada pelajar bawah umur.

“Bagaimanapun, pihak berkepentingan berpandangan pindaan undang-undang mungkin wajar dipertimbangkan, khususnya bagi mengawal produk vape yang dicampur bahan larangan, menetapkan piawaian pengiklanan serta penjualan secara dalam talian, dan memperluas takrifan dadah sintetik generasi baharu atau New Psychoactive Substances (NPS).

“Dengan kerangka undangundang yang ada, tindakan tegas tetap boleh diambil terhadap pengedar, namun penambahbaikan bersasar dilihat penting untuk memastikan keberkesanan jangka panjang dalam mengekang ancaman baharu melalui medium vape,” katanya.

Dalam masa sama, ibu bapa dan komuniti turut memegang peranan kritikal dalam strategi pencegahan awal.

Pemantauan tingkah laku anak, pendidikan tentang risiko vape, komunikasi berkesan serta penyaluran maklumat awal diyakini mampu mencegah remaja daripada terjerumus ke kancah penagihan. PDRM tegas Mancha, memberi amaran keras kepada manamana individu atau sindiket yang terlibat dalam pengedaran vape berunsur dadah, terutamanya yang menyasarkan pelajar bawah umur.

Tindakan tegas termasuk pendakwaan dengan hukuman mati, penjara seumur hidup serta sebatan boleh dikenakan.

“Walaupun setakat ini tiada kes penyeludupan vape dadah dikesan di sempadan Sarawak–Kalimantan, Mancha menegaskan, kawalan tidak akan dikendurkan.

Risikan rentas sempadan, kerjasama strategik dengan Polisi Republik Indonesia (POLRI) dan Badan Narkotika Nasional Indonesia (BNN), pemeriksaan bungkusan antarabangsa serta pengawasan laluan udara, darat dan laut terus diperhebatkan.

“Melalui pendidikan awal, sokongan keluarga dan komuniti serta penguatkuasaan bersepadu, generasi muda Sarawak dapat dilindungi daripada menjadi mangsa eksploitasi sindiket dadah.

“PDRM Sarawak komited sepenuhnya untuk menjadi benteng utama keselamatan generasi muda, sambil menyeru semua pihak berganding bahu menjadikan Sarawak sebuah negeri bebas dadah dan selamat untuk semua,” ujarnya.

BAHANA… Vape semakin berbahaya apabila dicampur dadah sintetik seperti MDMB-4en PINACA dan ADB-Butinaca.

Tiada rekod dadah mushroom

Dadah dikenali sebagai magic mushroom yang pernah menggemparkan masyarakat sejak pertengahan tahun ini disahkan sebenarnya bukan cendawan halusinogen, sebaliknya ganja sintetik yang diproses dalam bentuk cecair untuk digunakan menerusi rokok elektronik.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, bahan tersebut kerap disalah guna dalam kalangan penagih terutama melalui penggunaan vape.

Beliau menjelaskan, AADK menjalankan 50 kajian kes tahun lalu melibatkan kumpulan penagih yang mendakwa mengambil magic mushroom.

Namun, hasil ujian makmal Jabatan Kimia mendapati bahan tersebut adalah dadah  sintetik yang digabungkan dalam vape, bukan magic mushroom seperti yang difahami umum.

“Magic mushroom ini hanya istilah yang digunakan secara meluas, tetapi berdasarkan data dan keputusan ujian, ia sebenarnya ganja sintetik,” katanya.

Menurut Ruslin, ancaman dadah sintetik semakin membimbangkan dengan pelbagai jenis baharu dihasilkan, sekali gus menjadi pilihan anak muda khususnya ketika berhibur di parti.

Popularitinya menambah cabaran kepada pihak berkuasa dalam usaha membanteras penagihan.

Sehubungan itu, pindaan akta yang memberi lebih kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk menyenaraikan bahan dadah baharu diyakini membantu memperkukuh peranan AADK.

Malah, proses rawatan juga akan diperluaskan, termasuk membolehkan penagih ketum ditempatkan di pusat pemulihan selari dengan undang-undang baharu yang bakal dikuatkuasakan, tegasnya Sehingga kini, tiada kes atau aduan melibatkan vape yang mengandungi dadah mushroom atau Psilocybin dalam kalangan pelajar.

Dadah sintetik ancaman baharu

PDRM menghadapi cabaran besar dalam membanteras kes penyalahgunaan vape, termasuk penjualan berselindung di platform digital, penyamaran produk, identiti palsu suspek serta ketakutan mangsa, khususnya pelajar untuk tampil memberi maklumat

. Walau bagaimanapun, PDRM terus memperkukuh risikan siber, kerjasama antara agensi, pemeriksaan premis dan program pendidikan di sekolah bagi memastikan ancaman ini dibendung.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Amer Fawwaz Mohamad Yasid, methamphetamine diseludup ke negara ini bermula seawal 1990-an seperti dijelaskan dalam buku Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Malaysia tulisan Mohamad Sabri Yusoh dan Che Bakar Che Mat pada 2008.

Ahli kimia diupah sindiket dadah antarabangsa menukarkan bahan kimia menjadi methamphetamine adalah individu datang dari China, Taiwan dan beberapa negara di Eropah, katanya.

“Ini kerana kebanyakan bahan kimia digunakan bagi menghasilkan methamphetamine berasal dari China.

Ia asalnya bahan kimia sintetik untuk kegunaan industri. Penghasilan dadah sintetik melalui beberapa proses penyulingan bahan kimia dijalankan di makmal kimia haram yang dibina di kawasan jauh daripada kawalan pasukan keselamatan.

“Bekalan methamphetamine yang diproses akan diseludup masuk ke Malaysia melalui jalan darat dan laut.

Terdapat beberapa kaedah digunakan sindiket antaranya menggunakan kenderaan diubah suai dengan bahagian tersembunyi,” katanya.

Tambah Dr. Amer, kenderaan pacuan empat roda antara yang menjadi pilihan sindiket dengan menyembunyikan dadah pada bahagian pintu kenderaan dan di dalam kusyen pelapik tempat duduk.

Dalam sesetengah kes, methamphetamine turut disorok di dalam tangki minyak kenderaan yang diubah suai.

Bekalan dadah akan dibalut dengan bungkusan plastik kedap udara bagi mengelakkan rosak dan disembunyikan bagi mengelak dikesan terutama ketika melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), sebelum dibawa ke bandar utama seperti Kuala Lumpur, ujarnya.

“Kaedah penyeludupan dadah melalui jalan laut pula menggunakan bot pancung dan kapal kepunyaan nelayan yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.

“Bekalan dadah akan disembunyikan sama ada di dalam peti sejuk beku ikan atau dibalut dengan jaring bagi mengaburi pihak berkuasa daripada mengesan bekalan dadah berkenaan.

“Berdasarkan maklumat diperoleh daripada JSJN PDRM Bukit Aman, modus operandi terkini penyeludupan methamphetamine adalah dengan membungkusnya ke dalam paket teh Cina dengan jenama tertentu.

“Realitinya, perubahan corak penyalahgunaan dan penagihan dadah ketika ini semakin berbahaya.

Jika dilihat dalam tempoh antara 1960-an hingga 1990-an, aktiviti penagihan dadah dalam kalangan rakyat Malaysia memfokuskan pengambilan dadah jenis tradisional seperti candu, heroin, morfin dan ganja,” kata beliau lagi.

Namun, trend penyalahgunaan dadah berubah sejak 1990-an apabila kebanyakan penagih dadah menggunakan dadah jenis sintetik yang dihasilkan melalui pemprosesan bahan kimia sintetik seperti amphemethamine, methamphetamine dan pil psikotropik

. “Sebenarnya, peralihan corak penagihan dadah daripada jenis tradisional kepada dadah jenis sintetik menjadi satu perubahan negatif kepada penagih dadah. Ini kerana kesan penagihan dadah jenis sintetik mewujudkan kemudaratan lebih besar berbanding penggunaan dadah jenis tradisional. “Contohnya, penggunaan methamphetamine untuk jangka panjang menjadikan seorang penagih terdedah kepada simptom kerosakan otak dan saraf dengan lebih cepat berbanding penggunaan dadah jenis tradisional hingga pada satu tahap, penagih dadah sintetik boleh mengalami kesan hilang daya ingatan dan menjadi gila,” jelasnya.

Pengharaman berperingkat

Sementara itu, Kerajaan Sarawak dijangka melaksanakan pengharaman vape secara berperingkat-peringkat dengan memberi tumpuan awal kepada kawalan penjualan dan penggunaan dalam kalangan remaja

. Langkah ini diambil berikutan kebimbangan terhadap peningkatan ketagihan nikotin dan campuran bahan terlarang di dalam cecair vape yang semakin menular di negeri ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapa’ee menegaskan sokongan penuhnya terhadap cadangan pengharaman rokok elektronik kerana dikhuatiri mendatangkan kesan kesihatan yang jauh lebih buruk berbanding rokok biasa.

Menurut beliau, cecair yang digunakan di dalam vape mengandungi pelbagai bahan kimia yang boleh menyebabkan ketagihan selain merosakkan organ penting di dalam tubuh.

“Oleh itu, saya menyokong sepenuhnya langkah pengharaman total penggunaan vape, sementara Kementerian Kesihatan kini sedang mengkaji implikasi undang-undang untuk melaksanakannya,” katanya.

Beliau itu turut menegaskan, beberapa negara termasuk Singapura sudah melaksanakan larangan tersebut, justeru Malaysia tidak boleh menunggu lebih lama.

“Malaysia perlu bertindak segera untuk mengharamkan vape sebelum lebih ramai, khususnya golongan muda menjadi mangsa ketagihan,” ujarnya.

Sebagai pakar kardiologi, Dr. Annuar menekankan bahawa kesedaran awam mengenai risiko vape mesti dipertingkatkan melalui kempen pendidikan kesihatan yang lebih agresif.

Beliau memberi amaran bahawa selain menyebabkan ketagihan melampau, penggunaan vape turut berisiko membawa kepada kanser paru-paru, masalah tumbesaran dan pelbagai komplikasi lain.

“Lebih membimbangkan, kadar ketagihan akibat penggunaan vape sangat tinggi dan boleh menjadi pintu masuk kepada penyalahgunaan dadah serta bahan terlarang lain,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang berkata, isu vape bukan lagi berlegar pada persoalan sama ada ia perlu diharamkan atau tidak, sebaliknya lebih kepada bila pengharaman itu akan dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Di peringkat persekutuan, perkara ini sudah jelas. Ia bukan lagi soal sama ada mahu haramkan vape tetapi bila ia akan diharamkan.

Sementara itu, Kabinet negeri turut sependapat dan kita bertegas untuk melaksanakan pengharaman dalam masa terdekat.

Cuma tarikh pelaksanaannya belum dimuktamadkan,” katanya.

Beliau menegaskan, vape kini memberi ancaman kesihatan lebih serius berbanding tabiat merokok biasa, malah disalahgunakan sebagai medium penyaluran dadah.

“Vape isu yang sangat serius, malah lebih serius daripada merokok. Asalnya ia diperkenalkan sebagai alternatif kononnya lebih baik, tetapi kini sudah berubah menjadi saluran untuk penagihan dadah. Kerajaan negeri menentang keras aktiviti seumpama ini,” jelasnya.

Sehubungan itu, Tiang mengingatkan orang awam serta usahawan supaya tidak melabur atau membuka perniagaan berkaitan vape kerana kerajaan negeri dan persekutuan kini sehaluan dalam usaha mengharamkannya sepenuhnya.

BERITA LAIN

Hasil meningkat, alam terpelihara

HAMPARAN tanaman sawit yang terbentang dari Sematan hingga ke Miri menggambarkan kedudukan penting komoditi sawit dalam ekonomi Sarawak. Namun, di sebalik barisan pokok sawit yang

BERITA TERBARU