BULAN Ogos bagai menjadi ‘longgokan’ tarikh kemerdekaan banyak negara; Malaysia, Indonesia, Pakistan dan lain-lain.
Bagaimanapun wujud tarikh tragedi penjarahan yang tidak wajar dilupakan dalam lipatan rapi memori iaitu pada 25 dan 26 Ogos 1992.
Pada 10.30 malam, 25 Ogos 1992, pasukan Serbia yang diketuai oleh Radovan Karadžić melancarkan serangan mortar fosforus ke atas Vijećnica.
Pada masa itu, Vijećnica ialah bangunan agam Dewan Bandaraya Sarajevo yang menempatkan Perpustakaan Negara dan Universiti Bosnia dan Herzegovina.
Serangan mortar menyebabkan perpustakaan terbakar, memusnahkan hampir dua juta buku dan dokumen, jauh lebih banyak daripada pemusnahan buku dan dokumen Baitul Hikmah di Baghdad oleh Mongol pada 1258.
Pustakawan bernama Aida bersama pustakawan dan pencinta khazanah ilmu yang lain berusaha menyelamatkan koleksi penting sebagai warisan signifikan Bosnia dan Herzegovina.
Turut termuat koleksi sejarah Balkan, Islam, Yahudi, dan Kristian termasuk ratus teks tulisan tangan sejak zaman Uthmaniyah.
Ada saksi yang merakamkan pemandangan cebisan demi cebisan manuskrip lama kelihatan berterbangan di udara lalu berguguran ke bumi seperti daun-daun sewaktu musim luruh.
Usaha memadamkan api yang semakin ganas membakar Vijećnica menjadi mustahil kerana bekalan air dipotong sebulan sebelumnya.
Malam tersebut, Aida bermalam di Vijećnica yang dijilat api sambil berusaha sedaya upaya menyelamatkan apa-apa yang ada termasuk lebih daripada 800 naskhah dalam bahasa Arab, Turki, Parsi, dan Bosnia.
Pada keesokan hari, sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah dari perpustakaan, Aida ditembak mati oleh penembak tepat Serbia.
Lebih menyedihkan, jenazah Aida hanya ditemui beberapa hari selepas kejadian, dan khabarnya, ayah beliau juga sebelum itu menemui maut dengan cara yang sama.
Aida mati dibunuh sebagai orang awam sewaktu berusia 32 tahun, dan dikebumikan di Gradsko groblje Lav, Sarajevo – pembunuhan yang dilakukan secara pengecut lagi bacul.
Pihak Serbia ternyata melakukan pakej genosid terhadap warga Bosnia dan Herzegovina menerusi pembunuhan kira-kira seramai 100,000 sewaktu konflik 1992–1995 Bosnia.
Kematian akibat genosida terbesar adalah pada Julai 1995 di Srebrenica apabila 8,372 lelaki dan kanak-kanak lelaki Bosniak dibunuh, jumlah kematian yang lebih besar daripada kematian Yahudi era Holocaust.
Genosid atau penghapusan sesuatu genetik atau bangsa tidak cukup melampiaskan nafsu jahat golongan penjarah ekstrem lalu disusuli tindakan ‘skolastisida’ yang juga kejam.
Skolastisida (scholasticide) merujuk kepada pembakaran buku di samping pemusnahan sistem pendidikan serta pemusnahan sekolah dan pusat pengajian tinggi serta pembunuhan ilmuwan.
Ya, kalau genosida membunuh manusia, skolastisida membunuh ilmu dan keilmuan sebagai suatu bentuk misi membodohkan bangsa tertindas agar tidak mampu bangkit kembali.
Ada juga sarjana yang menggunakan istilah librisida (libricide) yang merujuk kepada pemusnahan warisan budaya bertulis sesuatu komuniti.
Pemusnahan warisan budaya bertulis tersebut boleh berlaku melalui dalam bentuk pembakaran, pelupusan, atau penghapusan sistematik koleksi ilmu.
Rebecca Knuth dalam buku Burning Books and Leveling Libraries: Extremist Violence and Cultural Destruction menjelaskan bahawa librisida sering dikaitkan dengan rejim autoritarian.
Menurut beliau, selain daripada pemusnahan Baitul Hikmah sebagaimana disebutkan sebelum ini, pernah berlaku pembakaran buku dan pembunuhan sarjana sewaktu zaman Maharaja China Ch’in Shih-huang pada abad ke-3 SM.
Begitu juga dengan pembakaran dan pemusnahan perpustakaan Iskandariah di Mesir yang berlaku secara berulang kali pada 48 SM (akibat serangan Julius Caesar), sekitar 270–273 M dan 391 M.
Baru-baru ini dunia dikejutkan dengan pemusnahan jutaan buku menerusi Projek Panama oleh Anthropic, pemilik Claude selaku kecerdasan buatan (AI) yang sedang bersaing di pentas AI dunia.
Projek Panama telah pun bermula sejak 2024 dengan inisiatif beli-imbas-musnah jutaan buku termasuk karya agung dengan tujuan untuk melatih Claude agar menjadi sebuah AI unggul.
Kita juga takkan lupa dan sukar memaafkan Zionis yang masih terus bongkak dengan genosid, skolastisida dan librisida yang masih belum berkesudahan.
Berbalik kepada Vijećnica, ia dibina semula sejak 1996 dan kembali dibuka pada 17 Julai 2014 sebagai simbol kebangkitan Sarajevo, manakala manuskrip klasik didigitalkan secara intensif.
Aida Buturovic (1960-1992) pustakawan legenda dari Sarajevo tentunya adalah antara simbol srikandi biblio terhebat dalam sejarah, untuk diingati dan diteladani.
Tiada maknanya merdeka, jika buku juga karya agung dan manuskrip klasik selaku warisan bangsa tidak dipelihara dan tidak diapresiasi.


