NITI Daun 2023 merupakan acara perarakan bagi kaum Dayak untuk meraikan kejayaan dan pencapaian dalam sosioekonomi yang dikecapi pada tahun sebelumnya.
Untuk pengetahuan, perarakan ini diamalkan sejak 1993 oleh masyarakat Iban di kawasan Batang Baleh, Kapit dan Batang Ai, Lubuk Antu.
Ia merupakan perarakan berjalan kaki di sepanjang ruai (koridor) rumah panjang dan berakhir di bahagian ruai tempat diadakan acara utama perayaan Gawai.
Perarakan ini merupakan sebahagian daripada upacara Ngerandang — upacara membersihkan laluan bagi menghalau roh jahat dan unsur jahat.
Secara tradisinya, upacara ini dilakukan oleh pahlawan Iban dan diikuti oleh pembawa piring (persembahan).
Mengikuti di belakang pembawa piring pula ialah Indu Piring iaitu wanita yang membawa dan menaburkan rendai (bertih beras) di sepanjang laluan bertujuan untuk menghalau roh jahat.
Perarakan Niti Daun Gawai 2023 sempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka dan Sambutan Hari Gawai 2023 diadakan di pekarangan bangunan Tun Jugah dan berakhir di Tebingan Kuching pada 18 Jun lalu.
Perarakan tersebut melibatkan lebih 3,000 peserta diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang turut mengetuai perarakan.
Turut hadir mengiringi Abang Johari, Timbalan Premier merangkap Penasihat Jawatankuasa Kerja Sambutan Gawai Dayak 2023 Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan ahli kenamaan lain.



