ARTIKEL

Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri.

Perayaan Aidilfitri ruang untuk suburkan hubungan, perkukuhkan ukhuwah – Tun Wan Junaidi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mengingatkan rakyat Sarawak agar tidak melupakan golongan tertentu semasa meraikan Hari Raya Aidilfitri ini.

“Ini terutamanya golongan kurang berkemampuan, anak-anak yatim, warga tua, orang kelainan upaya dan rakyat Palestin di Gaza yang sedang diuji dengan isu kemanusiaan serta ujian kekejaman yang amat dahsyat.

“Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa dan pengharapan kepada Allah SWT agar kemelut yang mereka hadapi sekarang ini akan segera berakhir,” katanya dalam Perutusan Hari Raya Aidilfitri 2024.

Di samping itu, beliau menyeru kepada warga Sarawak, khususnya umat Islam, untuk memanfaatkan sambutan Hari Raya Aidilfitri. 

“Perayaan ini adalah ruang untuk menyuburkan hubungan dan memperkukuhkan ukhuwah antara satu sama lain melalui aktiviti berziarah antara keluarga, jiran dan rakan taulan.

“Dengan kepelbagaian bangsa, budaya dan agama, sudah pasti kesejahteraan hidup bermasyarakat adalah asas pembinaan masyarakat harmoni yang kita kehendaki.

“Ini seterusnya akan menjadi tunjang perpaduan yang natijahnya menguatkan kesatuan ummah,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada orang ramai agar tidak melupakan jasa dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan, kesihatan dan penjawat awam negeri Sarawak.

Ini kerana, setiap kali menjelang perayaan, mereka sentiasa mencurahkan khidmat setia tanpa berbelah bahagi demi menjaga dan memelihara keselamatan rakyat serta negara.

Sehubungan itu, katanya, dalam usaha Sarawak mencapai status wilayah maju menjelang tahun 2030, beliau amat mengalu-alukan kepimpinan Premier Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Ini terutamanya dalam menyediakan pendidikan percuma di semua institut pendidikan tinggi awam (IPTA) negeri menjelang tahun 2026.

“Langkah Kerajaan Sarawak yang memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan bidang pendidikan adalah tepat untuk dilaksanakan,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar semua lapisan masyarakat bakal menikmati pendapatan yang lebih tinggi, kehidupan lebih baik, penjagaan kesihatan yang lebih berkualiti dan kesejahteraan rakyat.

Tambahnya, semua ini boleh dicapai melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030  (PCDS 2030) yang fokus kepada tenaga hijau, ekonomi digital, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan alam sekitar yang lebih mampan.

BERITA LAIN

Maklumat dasar kerajaan perlu sampai ke akar umbi

BINTULU: Penyampaian maklumat mengenai dasar, inisiatif pembangunan dan bantuan kerajaan perlu diperluas hingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan rakyat mengetahui serta dapat memanfaatkan kemudahan

BERITA TERBARU