Percaturan PSB dalam politik Sarawak

Masih panas bagai pisang goreng percakapan rakyat marhaen berkenaan kegagalan Pakatan Harapan (PH) mempertahankan DUN Semenyih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu lepas.

Dalam PRK tersebut calon PH ditentang calon BN, PSM dan calon Bebas. Pada PRK DUN Rantau nanti, sudah pasti akan meningkatkan keyakinan tinggi BN untuk mempertahankan  kerusi terbabit.

Kekalahan PH untuk kali kedua dalam PRK selepas kekalahan di Cameron Highlands jelas menunjukkan manifestasi rakyat sentimen dan protes rakyat terhadap kegagalan PH menunaikan janji dalam manifesto PRU14 lepas.

Isyarat jelas ditunjukkan oleh rakyat bahawa PH perlu bertindak mentadbir negara dengan cakna. Mereka perlu prihatin terhadap keluh-kesah rakyat yang tidak merasakan perubahan terutama dalam menangani peningkatan kos sara hidup.

Rakyat bukan tidak menyokong PH tetapi ingin melihat sebagai sebuah kerajaan yang baharu, PH harus membuka lembaran baharu dalam dimensi politik Malaysia.

Bercakap berkenaan lembaran baharu politik Malaysia, Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang dahului dikenali dengan nama Parti Rakyak Bersatu (UPP) mendapat pengesahan pendaftaran daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS). Kehadirannya tentu memeriahkan lagi politik di Sarawak.

Adakah ini merupakan dimensi politik baharu di Sarawak dengan penukaran atau penjenamaan semula UPP kepada PSB? Adakah PSB bakal membawa dimensi baharu dalam politik Sarawak? Persoalan ini harus diperhalusi dengan sebaik-baiknya berkenaan dengan penjenamaan semula UPP kepada PSB.

PSB yang diketuai Presiden Datuk Sri Wong Song Koh merupakan sebuah entiti politik yang setakat ini menyokong perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) walaupun belum diterima menyertai gabungan tersebut.

Rakyat Sarawak harus jelas bahawa ada beberapa orang menteri dan menteri muda dalam barisan kabinet kerajaan Sarawak terdiri daripada PSB.  Hal ini jelas menunjukkan PSB merupakan pendukung kepada perjuangan GPS.

Justeru, persoalannya, adakah parti komponen GPS terutama Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) dapat menerima kemasukan PSB ke dalam GPS sekiranya PSB memohon berbuat demikian?

Apakah kesan kepada pembahagian kerusi semasa PRN ke-12 nanti sekiranya PSB diterima menyertai GPS?

PRS dan SUPP sudah pasti tidak akan menerima kemasukkan PSB dalam GPS. Ini kerana, majoriti kerusi yang ingin ditandingi oleh PSB semasa PRN12 nanti ialah kerusi DUN bagi kedua-dua parti komponen GPS ini.

Namun begitu, persoalan yang harus dirungkai oleh GPS adalah, adakah PRS dan SUPP dapat menyumbang atau memberi kemenangan kepada GPS pada PRN12 nanti?

Adakah calon-calon daripada PSB merupakan calon boleh menang berbanding dengan PRS dan SUPP?

Polemik politik sebegini akan terus mewarnai politik Sarawak tanpa ada penyelesaian tuntas.

Sekiranya PSB berani keluar daripada status quo, para pemimpin yang mempunyai jawatan dalam kabinet negeri harus berjiwa besar untuk meletak jawatan. Atau mungkinkah mereka akan membentuk satu entiti politik tempatan yang boleh menjadi alternatif kepada rakyat Sarawak dalam membuat pilihan semasa PRN12 nanti?

Sekiranya ingin terus relevan, PSB perlu menjadi satu entiti politik tempatan yang tidak ada kaitan dengan parti lain terutama GPS dan PH di Sarawak.

Peluang dilihat lebih cerah dalam memenangi PRN12 sekiranya PSB membentuk identiti politik sendiri daripada berkongsi pentas dengan parti lain.

Dalam spektrum politik sekarang, PSB dapat memainkan peranan sebagai sebuah parti alternatif kepada rakyat Sarawak yang ingin membuat perubahan dalam arena politik Sarawak.

PSB perlu menjelaskan pendirian politik mereka kepada rakyat sekiranya ingin terus kekal relevan dalam pentas politik Sarawak.

PSB perlu terus berusaha menyantuni rakyat Sarawak terutama di luar bandar. Adakah PSB berani membuka ruang dalam dimensi baharu politik negeri Sarawak?

Ke manakah arah tujuan PSB, sama-sama kita nantikan dalam masa setahun dua ini.

Penulis ialah pensyarah sains politik dan penganalisis politik di Universiti Malaysia Sarawak.

Suara Sarawak