ARTIKEL

Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman.

Perebutan kuasa jejaskan fokus kerajaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Isu menangani masalah bekalan ayam, minyak masak dan telur ayam sepatutnya tidak menjadi masalah besar sekiranya tumpuan pembangunan ekonomi dan kebajikan negara diuruskan tanpa bercampur aduk dengan keghairahan perebutan kuasa yang tidak berkesudahan, kata penganalisis politik Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman.

Justeru, katanya jika negara berterusan dilanda kontroversi perebutan kuasa itu, ia akan menjejaskan fokus kerajaan dalam menguruskan dan menangani isu yang jauh lebih mendesak seperti tindakan terhadap cabaran ekonomi semasa, pengukuhan nilai mata wang dan isu tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat hingga membebankan rakyat.

“Dengan kata lain, terlalu banyak masa dan tenaga dibazirkan dengan sentimen serta usaha jatuh menjatuhkan antara satu sama lain.

“Lalu, agenda membangunkan negara walaupun masih berfungsi dengan baik sudah tidak lagi dapat diberikan tumpuan gara-gara masih bergelumang dengan isu perebutan kuasa,” katanya yang dihubungi.

Beliau mengulas mengenai titah Sultan Ibrahim, yang menegaskan baginda tidak akan melayan sebarang permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara.

Baginda bertitah, semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang sudah dibentuk.

“Jika ada yang hendak bermain politik, tunggulah semasa pilihan raya yang akan datang,” titah baginda semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15, semalam.

Mohd Fadzil menambah, sewajarnya isu berkaitan memajukan negara melalui peningkatan sumber tenaga mahir dan penguasaan teknologi di era digital kini mendahului isu yang tidak sepatutnya menjadi isu seperti bekalan telur dan minyak masak, jika ekonomi dan kelangsungan tadbir urus negara tidak diganggu gugat.

Namun dalam satu sudut lain, beliau menegaskan apa yang berlaku selama ini tidak boleh dinafikan angkara tindak tanduk orang politik sendiri, yang tidak ada pendirian dan bersifat seperti lalang.

Katanya, apa yang berlaku selama ini tidak mungkin dapat dihalang biar macam mana pun kerana peruntukan undang-undang sedia ada memungkinkan usul dan tindakan jatuh menjatuhkan boleh dilakukan melalui undi percaya atau tidak percaya.

“Dengan demikian, apa juga arahan dan pesanan boleh diperturunkan namun hakikatnya selagi masih terikat dengan peraturan sedia ada yang kekal termaktub sama ada dalam perlembagaan persekutuan mahupun undang-undang lain yang berkaitan, maka isu untuk menghalang hak tertentu menjadi agak sukar untuk diketepikan.

“Yang pasti, ia adalah amat subjektif. Harus diingat, Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan konsep Raja Berpelembagaan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

PCS diterima sebagai parti komponen GRS

KOTA KINABALU, Sabah: Parti Cinta Sabah (PCS) hari ini diterima sebagai parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun.