SEKIRANYA bayi anda lahir pada 2021, 2022 dan 2023, secara purata dijangka hidup sehingga 74.0 tahun, 73.8 tahun dan 74.8 tahun.
Ia bedasarkan Jadual Hayat Ringkas, Malaysia 2021-2023 yang dikeluarkan oleh Jabatan perangkaan Malaysia.
Bagi bayi lelaki, purata dijangka hidup lebih rendah iaitu 71.8 tahun, 71.5 tahun dan 72.5 tahun berbanding perempuan 76.5 tahun, 76.4 tahun dan 77.4 tahun.
Dari segi jangkaan hidup pada umur tertentu pula, seorang lelaki yang mencapai umur 15 tahun pada 2023 dijangka hidup selama 58.3 tahun lagi dan 63.1 tahun untuk perempuan.
Sekiranya berumur 60 tahun pada 2023, seorang lelaki dijangka hidup selama 18.3 tahun lagi dan wanita kekal lebih lama iaitu 21.1 tahun lagi.
Dari segi kumpulan etnik pula, kaum Cina kekal mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi 2021 hingga 2023.
Secara keseluruhan, jangkaan hayat ketika lahir meningkat 0.3 peratus berbanding sedekad lalu dengan 74.5 tahun pada 2013 menjadi 74.8 pada 2023.
Jangkaan tersebut juga menunjukkan perempuan hidup lebih lama melebihi 4.9 tahun berbanding lelaki pada 2023. Pun begitu, angka tersebut hanyalah anggaran dan jangkaan.
Turut direkodkan ialah 10 sebab kematian utama di Malaysia dan jangkitan akibat COVID-19 masih tersenarai di tangga keempat dengan 4.2 peratus.
PENYAKIT JANTUNG ISKEMIK
Penyakit jantung iskemik kekal menjadi punca kematian utama di Malaysia pada 2022 dengan 20,322 kematian atau 16.1 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan.
Penyakit ini juga menjadi punca utama kematian untuk etnik Melayu, Cina dan India.
Semua negeri di Malaysia merekodkan penyakit jantung iskemik sebagai sebab kematian utama pada 2022 kecuali Sabah dan Sarawak yang merekodkan pneumonia sebagai sebab kematian utama pada tahun yang sama.
Kelantan merekodkan peratusan tertinggi iaitu 23.3 peratus diikuti Perlis (23.1 peratus) dan Melaka (20.0 peratus).
Penyakit jantung iskemik menjadi sebab kematian utama sejak lebih dua dekad lalu kecuali pada 2021 — jangkitan COVID-19 menjadi sebab kematian utama.
Ia diikuti pneumonia (13.3 peratus), penyakit cerebrovascular (7.2 peratus), jangkitan COVID-19 (4.2 peratus), kemalangan kenderaan (3.2 peratus).
Diabetes turut tersenarai dengan 1.7 peratus atau menjadi punca kesembilan kematian utama di Malaysia. Antara yang menarik perhatian ialah kematian disebabkan kemalangan kenderaan.
ANCAMAN KEMATIAN REMAJA, BELIA
Difahamkan kemalangan kenderaan menjadi punca utama kematian untuk golongan berusia 15 hingga 40 tahun dengan 19.2 peratus.
Hal ini bermakna, ancaman utama fasa usia remaja dan belia ialah maut di jalan raya berbanding sakit jantung atau kencing manis atau penyakit berjangkit lain.
Pada 2022, Malaysia mencatatkan 545,630 kemalangan atau satu kemalangan setiap minit serta 6,067 mangsa maut dalam kemalangan jalan raya.
Satu kematian akibat nahas jalan raya direkodkan di Malaysia dalam tempoh setiap 90 minit.
Angka ini dilihat membimbangkan, ia lebih tinggi berbanding sebelum COVID-19 melanda (2019).
Kemalangan jalan raya pada 2020 menurun sebanyak 149,279 kes atau 26.3 peratus berbanding 2019 dan ia disebabkan berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jangan ambil jalan mudah dengan mengatakan “ajal dan maut seseorang telah ditentukan”.
Islam juga menuntut umatnya untuk kekal sihat dan menjaga keselamatan diri.



